Skuad Sukan SEA menang aksi persahabatan pertama bertemu Real Mulia FC

Skuad B-23 negara, Harimau Muda kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee mencatat kemenangan pada aksi persahabatan pertama untuk fasa terakhir kem latihan pusat menjelang Sukan SEA 2015 selepas menewaskan pasukan Liga FAM, Real Mulia FC 4-1, petang tadi.
 
 Pada perlawanan berlangsung di Pusat Latihan Maybank, Bangi itu, skuad Harimau Muda ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Real Mulia FC, Saufie Hamid pada minit ke-27.
 
 Namun selepas Kim Swee melakukan lapan pertukaran sebaik bersambung babak kedua, skuad Harimau Muda bangkit membalas empat gol menerusi dua jaringan S Kumaahran pada minit ke-48 dan 84 serta Adam Nor Azlin (m-64) dan Syazwan Tajudin (m-67).
 
 "Boleh nampak pada babak pertama, biarpun saya menurunkan pemain-pemain yang pernah beraksi bersama dahulu, tapi apabila bermain bersama semula, mereka nampak bermasalah terutama dari segi kecergasan.
 
  "Babak kedua, kita lihat ramai pemain-pemain dari skuad Harimau Muda B (kendalian Razip Ismail) yang sentiasa beraksi bersama menunjukkan sentuhan cukup baik. Di sini nampak perbezaan antara mereka yang selalu beraksi dan jarang beraksi.
 
  "Jadi saya harap pada dua aksi persahabatan seterusnya sebelum kami ke Singapura untuk saingan sebenar Sukan SEA, kami akan bertambah baik bukan saja dari segi kecergasan, tapi persefahaman," kata Kim Swee selepas perlawanan.
 
 Pengendali berusia 45 tahun itu menurunkan penjaga gol Farhan Abu Bakar, Arip Amiruddin, Amer Saidin, Shahrul Saad, Fandi Othman (ketua pasukan), Syafiq Ahmad, Gary Steven Robbat, Akram Mahinan, Nurridzuan Abu Hassan, Nazmi Faiz Mansor dan Rozaimi Abd Rahman pada separuh masa pertama.
 
  Sebaik babak kedua bersambung, hanya Amer, Shahrul dan Fandi dikekalkan manakala lapan pemain dimasukkan iaitu penjaga gol Firdaus Muhamad, Syazwan Tajudin, Faizat Ghazli, Saiful Ridzuwan Selamat, Amirul Hisyam Awang Kechik, Farhan Roslan, Adam Nor Azlin dan S Kumaahran.
 
 Sementara itu, jurulatih Real Mulia FC, Yunus Alif memuji kebangkitan ditunjukkan skuad Harimau Muda pada separuh masa kedua dan yakin skuad Kim Swee itu mampu mara lebih jauh di Sukan SEA 2015 yang aksi Kumpulan B bakal bermula 30 Mei ini.
 
 "Sebenarnya Real Mulia menurunkan barisan kedua kerana kami baru saja bertemu Shahzan Muda pada aksi Liga FAM di Kuantan, petang semalam. Kami mempunyai skuad besar seramai 36 pemain, jadi tiada masalah.
 
 "Tapi saya beritahu pemain supaya merebut peluang dapat berdepan skuad B-23 negara ini untuk menimba pengalaman.
 
 "Saya lihat skuad Harimau Muda ini, babak pertama kesebelasan utama mereka nampak berhati-hati kerana takut kecederaan berbanding pada babak kedua apabila mereka bergerak secara berpasukan dan itu memberi ruang mereka membolosi pertahanan kami," kata Yunus.
 
 Skuad Harimau Muda akan bertemu skuad Liga Perdana Sabah di Kota Kinabalu untuk aksi persahabatan kedua, Jumaat ini sebelum dijadual bertemu skuad B-23 Indonesia di ibu negara, 21 Mei ini untuk aksi persahabatan terakhir sebelum ke Singapura.
 
J Category: 
uncategorised8