SKUAD SUKAN SEA TEWAS AKSI PERSAHABATAN KETIGA BERTEMU INDONESIA

Skuad B-23 negara, Harimau Muda kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-0 kepada skuad B-23 Indonesia pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, petang tadi.
 
 Ia kekalahan sulung sepanjang siri aksi persahabatan pada kem latihan pusat fasa akhir menjelang Sukan SEA 2015 selepas skuad Kim Swee itu sebelum ini mudah menewaskan Real Mulia FC 4-1 pada 11 Mei lalu dan Sabah 3-0 di Kota Kinabalu, 15 Mei lalu.
 
 Jaringan tunggal skuad B-23 Indonesia menerusi sepakan lencong Wawan Pebrianto pada minit ke-35 kekal sehingga tamat permainan meskipun skuad bimbingan Aji Santoso itu beraksi 10 pemain selepas Hansamu Yama Pranata dilayangkan kad kuning kedua, minit ke-60.
 
 "Kita tidak bermain begitu baik pada separuh masa pertama. Saya faham yang selama ini kita tak dapat bertemu pasukan yang lebih kurang sama tahap dengan kita.
 
 "Jadi ini perlawanan cukup baik untuk saya mengenal pasti kekuatan dan kelemahan. Saya buat enam pertukaran sebaik babak kedua bermula bagi memberi peluang semua pemain untuk diberi penilaian," kata Kim Swee selepas perlawanan.
 
 Kesebelasan skuad B-23 negara dibarisi penjaga gol Farhan Abu Bakar, Arip Amiruddin, Syazwan Tajudin, Adam Nor Azlin, Fandi Othman (kapten), S Kumaahran, Gary Steven Robbat, Amirul Hisyam Awang Kechik, Farhan Roslan, Nazmi Faiz Mansor dan Syafiq Ahmad.
 
 Namun Kim Swee melakukan enam pertukaran sebaik babak kedua bermula dengan memasukkan Shahrul Saad, Nurridzuan Abu Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat, D Saarvindran, Syahrul Azwari Ibrahim  dan Ferris Danial Mat Nasir untuk menggantikan Arip, Fandi, Kumaahran, Gary, Farhan dan Syafiq.
 
 "Kami beraksi lebih baik pada separuh masa kedua apabila banyak gerakan lebih ke depan selain dapat mengawal sepenuhnya permainan selepas Indonesia beraksi 10 pemain.
 
 "Cuma penyudah agak tumpul apabila deretan peluang yang dicipta gagal disempurnakan selain kecekapan penjaga gol Indonesia.
 
 "Kita akui pasukan ini masih lagi belum bersiap sedia sepenuhnya menghadapi Sukan SEA 2015. Tidak merisaukan tetapi banyak lagi perlu diperbaiki. Masih banyak lagi kekurangan," jelas Kim Swee.
 
 Sebagai persiapan terakhir, skuad B-23 negara akan mengadakan satu perlawanan tertutup bertemu skuad B-19 negara, Harimau Muda C kendalian Hassan Sazali Mohd Waras, Isnin ini.
 
 Skuad Kim Swee akan memulakan cabaran Sukan SEA 2015 di Singapura bagi saingan Kumpulan B bertemu Timor Leste, 30 Mei ini diikuti aksi bertemu Vietnam (2 Jun), Thailand (4 Jun), Brunei (8 Jun) dan Laos (11 Jun), kesemuanya di Stadium Bishan.
J Category: 
uncategorised8