SUKAN SEA 2017: MALAYSIA DIUNDI DALAM KUMPULAN A BERSAMA MYANMAR, SINGAPURA, LAOS & BRUNEI

2017-07-08

Majlis undian bagi acara-acara berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah berlangsung di ibu negara, hari ini menyaksikan skuad bola sepak B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei.

 Malaysia yang memenangi pingat emas buat kali terakhir pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia dijangka berdepan cabaran utama daripada pemenang pingat perak Sukan SEA 2015 di Singapura iaitu Myanmar serta pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2013 di Naypyitaw, Myanmar iaitu Singapura bagi merebut dua slot teratas ke separuh akhir.

 Kumpulan B pula akan dibarisi enam pasukan diketuai pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 dan 2015, Thailand; pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015, Vietnam; pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 dan 2013, Indonesia serta Kemboja, Timor-Leste dan Filipina.

 Saingan bola sepak lelaki akan berlangsung dari 14 hingga 29 Ogos depan dengan Kumpulan A dijadual di Stadium Shah Alam manakala Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

 Separuh akhir dan final pula akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil jika Malaysia layak, namun andai sebaliknya, kedua-dua peringkat berkenaan akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

 Sementara itu, saingan bola sepak wanita serta futsal lelaki dan wanita akan berlangsung secara liga sepusingan berikutan ketiga-tiga acara berkenaan hanya disertai lima buah negara.

 Bagi acara bola sepak wanita, lima negara berkenaan ialah Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina sementara lima negara yang menyertai acara futsal lelaki dan wanita terdiri daripada Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-22, DATUK ONG KIM SWEE:

"Walaupun boleh dikatakan kita diundi dalam kumpulan yang lebih baik berbanding Kumpulan B, Myanmar dan Singapura akan menjadi pencabar utama manakala Laos dan Brunei pula tidak boleh dipandang rendah.

 "Apa yang lebih penting, kita harus memastikan pasukan kita berada dalam keadaan terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

 "Boleh nampak yang pasukan pilihan dari Kumpulan B pula pastinya Thailand, Indonesia dan Vietnam tetapi kejutan boleh berlaku dan kita sendiri juga tak tahu apa yang akan berlaku dalam Kumpulan A.

 "Jadi apa yang penting, kita hanya perlu fokus terhadap saingan Kumpulan A dan juga perlawanan yang bakal kita hadapi, berbanding memikirkan hal-hal lain.

 "Mengenai perlawanan persahabatan dengan Myanmar di Stadium Shah Alam pada 13 Julai ini, ia tetap akan diteruskan kerana kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk meneruskannya meskipun jika diundi dalam satu kumpulan untuk Sukan SEA 2017.

 "Ini kerana perlawanan ini penting untuk kedua-dua pasukan bersiap menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Julai ini. Sudah tentu ia satu perlawanan yang baik untuk kita."