YANG MUSTAHAK PEMAIN DAPAT 45 MINIT – KIM SWEE

2016-03-19

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan 45 minit yang diperoleh pada perlawanan latihan menentang kelab Liga Selangor, NPNG Emkay di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi lebih penting daripada keputusan perlawanan itu yang berkesudahan seri 0-0.

 "Bagi saya keputusan perlawanan ini tidak penting. Yang lebih mustahak adalah para pemain ini mendapat 45 minit permainan untuk saya menilai tahap mereka. Bukan saja dari segi kecergasan, tapi posisi-posisi tertentu untuk kita menghadapi Arab Saudi.

 "Seperti mana kita lihat, dengan hanya beberapa hari berlatih, nampak banyak lagi yang kekurangan.

 "Tapi jika kita tidak bermain 45 minit perlawanan ini atau sebarang aksi persahabatan, kemungkinan besar keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila kita bertemu Arab Saudi nanti," kata Kim Swee selepas perlawanan.

 Pada perlawanan berkenaan, Kim Swee meletakkan Khairul Fahmi Che Mat di gawang dan selaku ketua pasukan; Matthew Davies, Shahrom Abdul Kalam, Adam Nor Azlin dan Yong Kuong Yong di barisan pertahanan.

 Brendan Gan, Nazmi Faiz Mansor dan Hafiz Kamal bergandingan di posisi tengah; Wan Zack Haikal Wan Nor dan Joseph Kalang Tie masing-masing selaku sayap kanan dan kiri manakala Norshahrul Idlan Talaha sebagai penyerang tunggal.

 Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham masuk di pertengahan permainan menggantikan Kuong Yong manakala tiga pemain Kedah yang baru melapor diri hari ini - penjaga gol Farhan Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kechik tidak diturunkan.

 Selain 15 pemain yang sudah melapor diri itu, baki lapan pemain iaitu tujuh dari Johor Darul Ta'zim dan seorang dari Perak akan melapor diri pagi esok sebelum skuad 23 pemain berlepas ke Jeddah, 3 petang esok untuk menghadapi perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Arab Saudi di Stadium King Abdullah, Jeddah, 24 Mac ini.