Zamri digantung 2 tahun

Pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli digantung selama dua tahun daripada semua aktiviti bolasepak  selepas ujian sampel air kencingnya didapati positif mengandungi dadah terlarang, metamphetamine.

Ujian itu dibuat pada perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu. Ujian dijalankan oleh sebuah makmal di India.

Zamri tidak dikenakan hukuman maksimum digantung seumur hidup atau minimumnya, enam bulan yang tidak boleh dirayu. Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’  Taufik Razak berkata, penyalahgunaan dadah merupakan satu kes yang serius.

"Bahan yang diambilnya, diklasifikasikan makmal di India itu sebagai terlarang oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA (Agensi Antidoping Dunia). Tiada denda dikenakan ke atasnya dan dia boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM dalam tempoh 14 hari mengikut tarikh kuat kuasa hukuman yang ditetapkan dalam surat kepadanya.

"Kami sudah memberi masa, ruang dan peluang kepada pemain ini dan wakil KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) untuk membelanya. Kami juga sudah menimbang daripada aspek umur, keluarga dan latar belakangnya tetapi kami tidak mahu perkara ini menular dan menjadi ikutan kepada pemain sedia ada dalam Liga M atau bakal pemain dari peringkat sekolah," kata Dato’ Taufik pada sidang media selepas Mesyuarat Tatatertib FAM di Wisma Rabu lalu (4 Sept 2013).

Menurut beliau,  soal sama ada hukuman itu akan dikekalkan, dikurangkan atau dibatalkan, terpulang kepada Jawatankuasa Rayuan FAM .

Kata Dato’ Taufik lagi, pemain Kuala Lumpur, Hafizie Roslee pula digantung enam bulan daripada sebarang kegiatan bola sepak dan didenda RM2,000 selepas didapati tidak mempamer  semangat kesukanan ketika perlawanan Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.

"Kami mengkaji rakaman video dan mendapati pemain itu melanggar pertuduhan Perkara 35.1 Kod Tatatertib Edisi 2012 FAM dan dihukum mengikut Perkara 56.2 kod sama yang hukuman maksimumnya, didenda RM25,000. Dalam pembelaan, dia mengatakan telah dicabar seorang pemain Sime Darby sedangkan dalam video, tiada.

"Dia (sepatutnya) boleh menggelecek bola naik dan mengeluarkan bola dari kawasan sendiri (namun) menendangnya ke belakang, seolah-olah memberikan kepada pemain Sime Darby. Hukuman ke atasnya tidak boleh dirayu," katanya sambil enggan mengulas sama ada tindakan itu berkaitan dengan mengatur keputusan perlawanan.

Sementara itu, Johor Darul Takzim pula didenda RM40,000 atas pembakaran suar yang begitu banyak oleh penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru sehingga mengancam keselamatan orang ramai selain gagal menyediakan anggota keselamatan ketika menentang Selangor dalam Liga Super, 6 Julai lalu.

"Johor Darul Takzim mengaku bersalah atas pertuduhan kali ketiga dalam satu perlawanan itu dan hukuman ini masih boleh dirayu kerana denda maksimumnya ialah RM100,000 dan jika diulangi pada perlawanan selepas ini, boleh membawa hukuman diarah bermain di stadium itu tanpa penonton," katanya.

 

J Category: 
article/latest-news