KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA TATATERTIB FAM KALI KE-14 BAGI PENGGAL 2021-2025

2023-11-20

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya telah mencapai keputusan-keputusan berikut:

 

1. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan penyokong Johor Darul Ta’zim mengejek, melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya telah mengerumuni, mengejar dan menyerang penyokong pihak lawan sebelum sempat mereka menaiki bas semasa perlawanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 27 Mei 2023.

 

Hukuman: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

 

2. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City FC telah dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kecederaan yang serius semasa Final Piala FA 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.

 

Hukuman: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

 

3. Selangor FC

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 53, Artikel 70, perenggan 1 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM iaitu akibat cermin belakang kereta Pegawai Perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium (Pertuduhan 1), akibat satu insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah Pegawai Pertandingan (Pertuduhan 2) dan didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta Pegawai Perlawanan pecah, insiden baling botol dari tempat duduk penonton ke arah Pegawai Perlawanan, insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah Kumpulan Pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan Kumpulan Pengadil selepas perlawanan (Pertuduhan 3) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Selangor FC didenda RM10,000 bagi Pertuduhan 1, RM3,000 bagi Pertuduhan 2 dan RM10,000 bagi Pertuduhan 3 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

 

4. Pemain Selangor FC - Yazan Mousa Mahmoud Alarab

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada Pengadil Perlawanan dan apabila Pengadil Perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1) dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pemain ini digantung empat perlawanan bagi Pertuduhan 1 dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi Pertuduhan 2.

 

Walau bagaimanapun Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, Jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan, bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut. 

 

Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi perlanggaran-perlanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia. Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

 

5. Pegawai Pasukan Selangor FC - Syafiq Iqmal Fozi

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat tindakannya yang datang secara agresif dan melakukan provokasi melampau ke atas Kumpulan Pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan Kumpulan Pengadil menuju ke bilik persalinan semasa Kumpulan Pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

 

Walau bagaimanapun Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan bagi lima perlawanan dahulu dan baki lima perlawanan selebihnya adalah ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

 

Jika pegawai ini melakukan pelanggaran yang lain sewaktu tempoh pemantauan, baki penggantungan lima perlawanan seperti dinyatakan di atas secara automatik ditarik balik dan hukuman asal akan diguna pakai dan ianya turut ditambah ke atas hukuman yang dikenakan terhadap pelanggaran yang baharu. Keputusan ini boleh dirayu.

 

6. Pegawai Pasukan Selangor FC - Mohd Fadhli Mohd Zahari

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat tindakannya yang datang dan melakukan provokasi melampau ke atas Kumpulan Pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan secara agresif, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan Kumpulan Pengadil menuju ke bilik persalinan semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

 

Walau bagaimanapun Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan bagi lima perlawanan dahulu dan baki lima perlawanan selebihnya adalah ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

 

Jika pegawai ini melakukan pelanggaran yang lain sewaktu tempoh pemantauan, baki penggantungan lima perlawanan seperti dinyatakan di atas secara automatik ditarik balik dan hukuman asal akan diguna pakai dan ianya turut ditambah ke atas hukuman yang dikenakan terhadap pelanggaran yang baharu. Keputusan ini boleh dirayu.

 

7. Pengurus Komuniti Selangor FC - Amirul Aswad Subro

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat tindakannya yang datang dan melakukan provokasi melampau ke atas Kumpulan Pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan secara agresif serta menghalang laluan Kumpulan Pengadil menuju ke bilik persalinan semasa Kumpulan Pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

 

Walau bagaimanapun Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan bagi lima perlawanan dahulu dan baki lima perlawanan selebihnya adalah ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

 

Jika pegawai ini melakukan pelanggaran yang lain sewaktu tempoh pemantauan, baki penggantungan lima perlawanan seperti dinyatakan di atas secara automatik ditarik balik dan hukuman asal akan diguna pakai dan ianya turut ditambah ke atas hukuman yang dikenakan terhadap pelanggaran yang baharu. Keputusan ini boleh dirayu.

 

8. Pengurus Aset Selangor FC - Wan Ajmal Wan Abdullah

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 8 dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat tindakannya membaling botol ke arah Pengadil Perlawanan dan hampir mengenai kepala Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1) dan telah datang dan melakukan provokasi melampau ke atas Kumpulan Pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan secara agresif, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan Kumpulan Pengadil menuju ke bilik persalinan semasa Kumpulan Pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan (Pertuduhan 2) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini didenda RM5,000 bagi Pertuduhan 1 serta digantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 bagi Pertuduhan 2.

 

Walau bagaimanapun Jawatankuasa ini telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, Jawatankuasa ini boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut. 

 

Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pegawai ini bagi perlanggaran-perlanggaran di atas secara keseluruhannya adalah penggantungan 10 perlawanan dan didenda RM10,000.

 

Namun Jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan bagi lima perlawanan dahulu dan baki lima perlawanan selebihnya adalah ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

 

Jika pegawai ini melakukan pelanggaran yang lain sewaktu tempoh pemantauan, baki penggantungan lima perlawanan seperti dinyatakan di atas secara automatik ditarik balik dan hukuman asal akan diguna pakai dan ianya turut ditambah ke atas hukuman yang dikenakan terhadap pelanggaran yang baharu.

 

Pegawai ini turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

 

9. Ketua Marshall Selangor FC - Jayabalan a/l Muniandy

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 8 Kod Tatatertib FAM serta dua lagi pertuduhan di bawah Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu akibat tindakannya membaling botol ke arah Pengadil Perlawanan dan hampir mengenai kepala Pengadil Perlawanan semasa Kumpulan Pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan (Pertuduhan 1), apabila semasa kumpulan Pengadil berada di dalam bilik persalinan, beliau telah datang ke bilik tersebut dan menghalau Kumpulan Pengadil dari bilik tersebut, melakukan provokasi terhadap Kumpulan Pengadil dan memarahi Kumpulan Pengadil dengan menggunakan kata-kata kesat dan kata-kata lucah (Pertuduhan 2) dan semasa dan/atau selepas tamat perlawanan, beliau yang bertugas sebagai ketua marshall gagal menjalankan tanggungjawabnya apabila enggan menyediakan kawalan keselamatan kepada Kumpulan Pengadil semasa Kumpulan Pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan apabila diarahkan berbuat demikian oleh Komisioner Perlawanan yang telah menyebabkan Kumpulan Pengadil terdedah kepada ancaman daripada pegawai, pemain, penyokong dan/atau petugas dari Selangor FC (Pertuduhan 3) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini didenda RM10,000 bagi Pertuduhan 1 dan digantung daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya termasuk di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, komuniti dan sosial di Malaysia selama 2 tahun yang berkuat kuasa mulai 20 November 2023 sehingga 19 November 2025 dan didenda RM10,000 bagi Pertuduhan 2 dan 3 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

 

10. Pegawai Pasukan Selangor FC - Syafiq Iqmal Fozi

 

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkenaan dengan kelakuan yang menyinggung dan fair play semasa perlawanan Suku Akhir 1 Piala Malaysia 2023, Terengganu FC lwn Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 16 September 2023.

 

Hukuman: Pegawai ini tidak dikenakan sebarang hukuman selepas pertuduhan terhadapnya telah digugurkan. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

 

 

PENGERUSI

JAWATANKUASA TATATERTIB PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 20 November 2023