PERSAHABATAN: FILIPINA 0-0 MALAYSIA

2017-03-23

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia yang kini di ranking ke 161 dunia memulakan aksi sulung tahun 2017 dengan sekali lagi seri 0-0 dengan Filipina, pasukan di kedudukan ke-124 dunia pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam tadi.

 Berdasarkan rekod pertemuan, ini merupakan keputusan seri kali kelima berturut-turut dicatat pada pertembungan kedua-dua pasukan selepas Malaysia dan Filipina seri 1-1 dan 0-0 pada 2012 serta dua kali seri 0-0 pada 2014 di Selayang dan Cebu.

 Sebelum itu, Malaysia menewaskan Filipina 4-0 pada aksi sulung peringkat kumpulan Piala AFF 2007 di Bangkok (12 Januari 2007) manakala kali terakhir Filipina mengatasi Malaysia ialah pada aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 1991 di Stadium Memorial Rizal (28 November 1991) menerusi kemenangan tipis 1-0.

 Pada perlawanan di Manila malam tadi, Filipina kendalian Thomas Dooley, bekas pemain skuad Piala Dunia 1994 Amerika Syarikat tampak berjaya menguasai babak awal permainan separuh masa pertama.

 Namun percubaan Javier Patino di depan pintu gol Malaysia pada minit ke-17 mudah diselamatkan Khairulazhan Khalid manakala tiga minit kemudian, percubaan bahaya ketua pasukan Filipina, Philip Younghusband berjaya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan itu.

 Peluang terbaik Malaysia pula hanya hadir pada minit ke-39, namun percubaan kaki kiri ketua pasukan, Amri Yahyah dalam kotak penalti sekadar tersasar jauh dari gawang Filipina.

 Separuh masa kedua bersambung, Malaysia dinafikan sepakan penalti oleh pengadil pada minit ke-49 biarpun Amri jelas telah dijatuhkan pemain pertahanan Filipina, Junior Munoz.

 Amri sekali lagi terlepas peluang apabila tandukannya di depan pintu gol Filipina tersasar selepas menerima bola hantaran pemain gantian, Matthew Davies dari sebelah kanan pada minit ke-71.

 Tatkala Filipina gagal menghadirkan percubaan tepat berbahaya sepanjang babak kedua, Malaysia terlepas peluang untuk memecah kebuntuan apabila S Veenod yang mengatasi pertahanan Filipina sekadar menyaksikan percubaannya sedikit sipi ke kiri gawang tuan rumah pada minit ke-89.

 Skuad Harimau Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air, tengah hari ini dan berkumpul semula untuk latihan pusat pada awal Jun depan bagi menghadapi dua perlawanan sulung Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di gelanggang berkecuali pada 8 Jun dan menanti kunjungan Lebanon di laman sendiri pada 13 Jun.

 

FILIPINA: 1-Neil Etheridge; 2-Junior Munoz (21-Martin Steuble 77'), 12-Amani Aguinaldo, 13-Dennis Villanueva, 11-Daisuke Sato (19-Jeffrey Christiaens 68'); 9-Misagh Bahadoran (5-Mike Ott 31'), 8-Manuel Ott, 14-Kevin Ingreso, 7-Iain Ramsay (18-Hikaru Minegishi 63'); 20-Javier Patino (23-James Younghusband 71'), 10-Phil Younghusband (C) (17-Fitch Arboleda 71').

MALAYSIA: 1-Khairulazhan Khalid (22-Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy 88'); 15-Rizal Ghazali, 3-Shahrom Kalam, 20-Ronny Harun (13-Khairul Helmi Johari 57'), 14-Khair Jefri Jones; 7-Baddrol Bakhtiar (12-Akram Mahinan 74'), 5-Shahrul Saad, 17-Amri Yahyah (C) (11-S Veenod 74'); 16-Syazwan Zainon (2-Matthew Davies 65'), 10-Safee Sali (23-Hadin Azman 63'), 9-Ahmad Hazwan Bakri.

Pengadil: Steve Supresencia (Filipina)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Saya percaya ia sentiasa menjadi satu perlawanan yang sukar apabila kita berdepan Filipina. Boleh lihat pada separuh masa pertama Filipina lebih banyak menguasai permainan dan sebahagian besar aksi separuh masa kedua pula dikuasai oleh pasukan kita.

 "Jadi saya percaya yang perlawanan ini mencapai tujuan kedua-dua pasukan terutama Filipina yang akan bertemu Nepal pada aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa ini. Bagi saya, satu keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan.

 "Seperti Filipina, kita juga mahukan kemenangan. Tapi kita kena akui yang Filipina telah banyak meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan berdasarkan ranking FIFA, mereka di kedudukan lebih baik berbanding kita.

 "Untuk meraih keputusan seri di tempat lawan dengan pasukan yang lebih baik kedudukan rankingnya, ia satu mata yang cukup bernilai. Saya tak rasa dengan keputusan seri ini kita dianggap tidak mencapai apa yang kami mahukan daripada perlawanan ini.

 "Saya gembira dengan persembahan para pemain senior. Boleh nampak Amri Yahyah, Safee Sali, Shahrom Kalam dan Ronny Harun bekerja keras dan cukup baik. Saya yakin yang kita masih memerlukan pemain senior ini untuk membimbing pemain-pemain muda pada masa akan datang.

 "Saya tak tahu, mungkin ini sumpahan setiap kali Filipina dan Malaysia bertemu di mana tiga pertemuan dengan Filipina sepanjang saya mengendalikan pasukan ini telah berakhir dengan seri 0-0.

 "Tapi seperti yang saya katakan, ia satu perlawanan yang seimbang di mana Filipina mendapat peluang dan kita juga mendapat peluang, cuma sentuhan penyudah yang perlu kedua-dua pasukan perbaiki."