Selangor juara Piala Belia 2015

 

Gelaran juara kejohanan liga bawah 19 tahun kebangsaan, Piala Belia 2015 menjadi milik pasukan Selangor selepas mengumpul 37 mata menerusi 12 kemenangan, sekali seri dan sekali tewas pada saingan secara liga sepusingan membabitkan 15 pasukan itu.
 
 Majlis penyampaian piala kejuaraan itu diadakan di Stadium Kuala Selangor, petang tadi sejurus tamat perlawanan terakhir liga yang menyaksikan Selangor menewaskan Sarawak 5-0.
 
 Piala disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari yang juga merupakan pengurus skuad Liga Super Selangor.
 
 Jurulatih skuad Piala Belia Selangor, Noor Zaidi Rohmat berkata, keharmonian dalam pasukan dan kerja keras semua pemain menjadi kunci kejayaan pasukannya pada saingan musim ini.
 
 "Syukur Alhamdulillah. Ini semua hasil kerja keras satu pasukan terutama para pemain saya. Memang pada awalnya, cabaran dan kesukaran kita ialah untuk mengumpul pemain kerana hanya lima pemain musim lalu yang masih kekal.
 
 "Sebenarnya kejayaan muncul juara ini di luar jangkaan saya. Apa yang penting, keharmonian pasukan. Kita tiada bintang dalam pasukan, cuma kita dapat membentuk kombinasi terbaik yang mampu bekerjasama," kata Noor Zaidi ketika ditemui selepas perlawanan.
 
Pada aksi petang tadi, Selangor mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan Mohd Faizzuddin sebelum mereka menggandakan kedudukan 4-0 apabila Afiq Azam menambah dua lagi gol.
 
 Faizzuddin kemudian melengkapkan hatriknya apabila meledak gol kelima Selangor.
 
 Terdahulu Selangor memulakan kempen Piala Belia 2015 dengan garang apabila meraih lapan kemenangan berturut-turut bermula kejayaan membelasah juara bertahan, Kelantan 4-0 pada aksi sulung di Stadium Mini USM, Kubang Kerian, 8 Februari lalu.
 
 Bagaimanapun rekod tanpa kalah Selangor itu lebur pada perlawanan kesembilan apabila mereka tewas 2-1 kepada Kedah di Stadium Mini Jitra, 12 April lalu.
 
 Namun Selangor kembali bangkit meraih kemenangan selepas itu dan akhirnya disahkan sebagai juara selepas menewaskan Melaka 2-0 di Padang 10, Wisma MAFA, Paya Rumput, 10 Mei lalu.
 
 Selangor sebelum ini pernah muncul juara Piala Belia pada 2013 tetapi kejuaraan itu dirampas Kelantan, musim lalu.
 
J Category: 
uncategorised6