SIARAN MEDIA: FAM DAN GRAB MALAYSIA JALIN HUBUNGAN STRATEGIK

2023-12-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan jalinan kerjasama bersama Grab Malaysia,, sebagai rakan e-hailing dan penghantaran makanan rasmi FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.

Kehadiran Grab Malaysia menjelang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024 dilihat sebagai satu dorongan motivasi kepada skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyifatkan kerjasama bersama Grab Malaysia sebagai lonjakan semangat terhadap usaha skuad bola sepak kebangsaan dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Visi kami di FAM adalah satu visi yang dikongsi bersama, tidak kira dengan penyokong bola sepak tanah air tetapi juga bersama barisan penaja-penaja FAM.

“Sudah tentu dengan kehadiran Grab Malaysia ini akan memberikan suntikan semangat kepada barisan kejurulatihan dan pemain pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, nanti.

“Mewakili pihak FAM, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga kerja Grab Malaysia di atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan. Semoga jalinan kerjasama ini akan membawa kedua-dua organisasi ke arah kejayaan,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sementara itu, Adelene Foo, Pengarah Urusan Grab Malaysia berkata,“Sebagai jenama tempatan, kami amat berbangga di atas pengiktirafan sebagai rakan e-hailing dan penghantaran makanan rasmi bagi skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya.

“Setiap kali Harimau Malaya bertanding di kancah antarabangsa, seluruh negara akan berdiri di belakang pasukan negara, dan Grab turut bersama, mendukung cita yang sama.”

“Melalui kerjasama ini, Grab akan memastikan keperluan harian pasukan bola sepak negara diuruskan dengan sempurna, sekaligus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap prestasi.”

“Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan Grab memberi sumbangan bermakna terhadap masa depan bola sepak negara, serta mendorong kejayaan di peringkat global. Dalam menyokong perjuangan Harimau Malaya, kami turut meraikan perpaduan menerusi bola sepak, bersama jutaan rakyat Malaysia.”

Perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor disaksikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram dan Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian.

Kerjasama ini bukan sekadar satu lonjakan semangat kepada skuad Harimau Malaya, tetapi juga membuktikan komitmen bersama untuk mengembangkan dan memperkasakan arena bola sepak Malaysia.

 

*Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 28 Disember 2023

 

Mengenai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Ditubuhkan pada 1926 sebagai Persatuan Bola Sepak Malaya (MFA), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah badan induk negara yang dibentuk untuk menyelia semua aspek aktiviti bola sepak di negara ini. Bergabung dengan badan dunia FIFA, FAM adalah ahli Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Untuk pertanyaan media kepada FAM, sila hantar e-mel ke: [email protected]

 

Mengenai Grab

Grab merupakan aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara, yang beroperasi di seluruh sektor layanan penghantaran, mobiliti, dan kewangan digital. Meliputi lebih daripada 500 bandar di lapan negara Asia Tenggara - Kamboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Grab membantu jutaan orang setiap harinya untuk memesan makanan atau barang keperluan harian, mengirim pakej, menaiki kereta atau teksi, melakukan pembayaran untuk pembelian online atau mengakses layanan seperti pinjaman dan insurans, semuanya melalui satu aplikasi. Grab diwujudkan pada 2012 dengan misi untuk memacu Asia Tenggara ke hadapan dengan mewujudkan pemerkasaan ekonomi untuk semua, dan berusaha untuk menjalani misi triple bottom line: mencapai keuntungan dari segi prestasi kewangan bagi pemegang sahamnya, di samping mencetuskan impak yang positif kepada masyarakat dan alam sekitar di Asia Tenggara.