SIARAN MEDIA: FAM LANCAR AKADEMI PENGADIL PROFESIONAL; UMUM PERKEMBANGAN TERBAHARU VAR DI LIGA MALAYSIA

2024-04-18

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasminya telah melancarkan Akademi Pengadil Profesional yang bertujuan untuk melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024 yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Menurut Dato' Sivasundaram, seramai 30 pengadil termasuk tiga pengadil wanita telah dipanggil untuk menyertai projek Akademi Pengadil Profesional bagi batch pertama iaitu bermula tahun 2023 hingga 2025.

"Bagi batch pertama ini, FAM telah memilih pengadil-pengadil muda dan berpotensi yang mana umur mereka di antara 20 hingga 32 tahun.

"Pengadil-pengadil ini akan diuji dari segi aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan serta literasi (kebolehan menulis dan membaca) dalam bahasa Inggeris. Sebanyak sembilan modul perlu diikuti oleh mereka," katanya.

Tambah Dato' Sivasundaram, seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga telah dipilih untuk dilatih sebagai pengadil VAR.

"Matlamat terakhir kita bagi batch pertama Akademi Pengadil Profesional ini adalah untuk menyediakan pengadil-pengadil yang berprestasi tinggi bagi Liga Super Malaysia pada 2026," jelasnya yang mahu melihat projek jangka panjang ini diteruskan untuk batch-batch seterusnya pada 2025-2027 dan 2027-2029.

Dalam pada itu, Dato' Sivasundaram turut memaklumkan bahawa FAM dan Malaysian Football League (MFL) kini dalam fasa akhir persiapan untuk pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2024/25 yang akan bermula 10 Mei ini.

"Atas inisiatif Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024/25 ini.

"Pelbagai fasa latihan VAR telah dibuat untuk membiasakan pengadil-pengadil dengan kemahiran VAR. Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara," jelas beliau.

Dato' Sivasundaram menambah, seramai 22 Pengadil telah ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil ditauliah sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee), sembilan Pengadil ditauliah sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai Replay Operator (RO).

"Tambahan seramai 17 Penolong Pengadil dipanggil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana ia membolehkan mereka dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 & 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR.

"FAM juga akan membuat Latihan VAR fasa ke-2 untuk menambah pengadil-pengadil VAR," katanya yang berharap agar pelaksanaan VAR ini dapat meningkatkan lagi prestasi pengadil-pengadil di Liga Malaysia.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 18 April 2024