SIARAN MEDIA: PALESTIN SAH TARIK DIRI, FAM KEKAL FORMAT PESTABOLA MERDEKA 2023

2023-10-10

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan bahawa format pertandingan Pestabola Merdeka 2023 adalah dikekalkan biarpun ia kini disertai hanya tiga pasukan - Malaysia, India dan Tajikistan.

Pasukan Palestin terpaksa menarik diri daripada menyertai edisi ke-42 ini kerana tidak dapat terbang ke Kuala Lumpur ekoran situasi tegang di negara berkenaan ketika ini.

Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan (4.30 petang) manakala Malaysia berdepan India (9.00 malam) pada Jumaat, 13 Oktober 2023, yang mana dua pasukan yang tewas akan merebut tempat ketiga (4.30 petang) manakala dua pasukan yang menang akan ke Final (9.00 malam) pada Selasa, 17 Oktober 2023, dengan kesemua empat perlawanan tersebut di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat, 13 Oktober 2023 (9.00 malam) di Stadium Nasional manakala Tajikistan kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke Final pada Selasa, 17 Oktober 2023 (9.00 malam) di Stadium Nasional untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India.

Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober 2023 dan satu perlawanan pada Selasa, 17 Oktober 2023 iaitu tiada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari tersebut.

Perubahan format tersebut adalah solusi terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, pagi tadi selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.

Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang telah pun membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua Hari Perlawanan pada 13 dan 17 Oktober itu, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap Hari Perlawanan tersebut.

Tiket-tiket masih boleh dibeli di https://bit.ly/tiketpestabola dan penjualan tiket hanya secara dalam talian iaitu tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium pada hari perlawanan nanti.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 10 Oktober 2023