2017-08-06
Satu majlis perjumpaan antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bersama para pemain dan pegawai pasukan-pasukan di bawah kelolaan FAM yang akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah berlangsung di The St Regis Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
DYAM Tunku Presiden turut meluangkan masa memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada skuad bola sepak lelaki B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee, skuad bola sepak wanita kebangsaan kendalian Mohd Asyraaf Fong Abdullah, skuad futsal lelaki kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong dan skuad futsal wanita kebangsaan kendalian Muzzudin Haris.
Reaksi spontan DYAM Tunku Presiden sempat dirakamkan apabila baginda turun dari pentas utama dan kemudiannya duduk berkumpul bersama-sama para pemain dan staff kejurulatihan untuk memberi amanat serta kata-kata semangat dengan lebih dekat kepada pemain-pemain Malaysia yang akan beraksi dalam Sukan Sea nanti yang bakal bermula 14 Ogos ini untuk acara futsal dan bola sepak.
Pada majlis berkenaan juga, baginda turut mengumumkan bonus berjumlah RM25,000 yang diberikan kepada setiap pemain skuad B-22 kebangsaan yang telah mencipta sejarah pertama kali berjaya layak ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari depan.