2019-08-24
Pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal mempertahankan gelaran juara Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC apabila tewas 1-3 kepada tuan rumah, pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam edisi tahun ini di AFC House, Bukit Jalil.
Pasukan FAM diketuai Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin serta dibarisi kakitangan FAM lain manakala pasukan AFC pula dibarisi kakitangan mereka.
Pada babak pertama, FAM ketinggalan 0-1 hasil tandukan pemain AFC, Raymond Bhaskaran dari tendangan sudut pada minit ke-12.
AFC terus mengasak dalam separuh masa kedua dan berjaya menambah lagi dua gol menerusi Jacob Biggs dan Raymond. Walaupun mengawal perlawanan pada babak kedua, FAM hanya mampu merobek gawang gol AFC pada minit ke-79 apabila staf Unit Pasukan Kebangsaan FAM, Sentilkumar Palanisamy berjaya menjaringkan gol tunggal FAM.
"Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik dan perlawanan ini mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan antara dua persatuan bola sepak FAM dan AFC,” kata Dato’ Haji Hamidin.
Untuk rekod, FAM muncul juara tiga tahun berturut-turut sejak edisi sulung piala tersebut pada tahun 2016 di mana FAM mencatatkan kemenangan 6-5 ke atas AFC pada tahun 2016, 4-1 pada tahun 2017 dan 5-2 pada tahun 2018.
Nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih untuk trofi perlawanan persahabatan antara FAM dan AFC ini kerana Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu pernah menjadi presiden kedua-dua badan induk bola sepak terbabit.
Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden FAM selama 23 tahun dari 1951 hingga 1974 serta turut pernah memegang jawatan selaku Presiden AFC selama 19 tahun dari 1958 hingga 1977.
FAM dan AFC merancang penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC ini secara bergilir setiap tahun.