AMANAT PRESIDEN: KERJASAMA DAN SEMANGAT SEPASUKAN MENANGANI WABAK COVID-19

2020-03-18

Assalamualaikum, Salam Sejahtera,

Dengan segala hormatnya, saya merujuk kepada perkara di atas.

Seperti yang kita maklum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudahpun mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik atau wabak besar.

Kita juga maklum Malaysia mencatat jumlah kumulatif kes positif COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara setakat ini.

Dalam keadaan sebegini, FAM selaku badan induk yang mengurus bola sepak tempatan, mengambil tindakan pada mulanya melarang penonton daripada menghadiri perlawanan yang bernaung di bawah FAM berkuatkuasa 13 Mac lalu.

Seterusnya bermula pada 16 Mac yang lalu, FAM menunda semua perlawanan dan aktiviti bola sepak di semua peringkat berkuat kuasa serta-merta sehingga pada satu tarikh yang ditetapkan.

Keputusan ini dibuat demi kemaslahatan umum selepas mengambil kira semua aspek dan cabaran serta kekangan pemegang taruh, termasuk penjualan tiket dan impak yang besar kepada penonton, media, penaja dan rakan-rakan kongsi secara amnya.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai drastik dan mempunyai kesan yang amat besar terhadap industri bola sepak tempatan, ia sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung perintah kawalan pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac.

Alhamdulillah, sejauh ini, semua pihak memberi kerjasama dan menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi dalam sama-sama membantu FAM menangani cabaran ini.

Maka itu bagi pihak FAM, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menghulurkan sekalung penghargaan kepada semua ahli gabungan, rakan-rakan penaja, penyokong dan warga bola sepak tempatan atas sokongan penuh sepanjang tempoh bertenang ini.

Sambil saya menyeru agar semua rakan-rakan untuk menjaga kesihatan, mengambil langkah-langkah pencegahan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta pihak berkuasa, mari kita sama-sama berdoa, tanpa mengira agama dan bangsa, agar kita dijauhkan daripada wabak ini supaya semua aktiviti dan pertandingan bola sepak tempatan kembali dianjurkan seperti sedia kala.

Saya juga memberi jaminan FAM akan berhubung dan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa dengan semua pemegang taruh sebarang perkembangan mutakhir sambil meletakkan kepentingan bola sepak di atas segala-galanya.

Sekali lagi saya memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar memberi kita kekuatan, dan ketabahan dalam menempuh dugaan ini dan agar kita dijauhkan daripada musibah dan penyakit yang memudaratkan. Aamiinn.

 

Yang turut sama berdoa,

 

DATUK HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)