FAM KENDALI SIRI WEBINAR BERKENAAN TREND TERKINI & PEMBANGUNAN BOLA SEPAK BELIA DI MALAYSIA

2021-02-09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi jabatan teknikalnya telah mengambil inisiatif untuk mengadakan tiga siri webinar secara dalam talian bagi membincangkan hala tuju bola sepak belia di Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih berterusan di negara ini.

Siri pertama telah berlangsung selama dua jam, pagi tadi membabitkan penyertaan seramai 111 orang peserta yang terdiri daripada pengarah teknikal dari setiap ahli gabungan FAM, ketua jurulatih pasukan Piala Presiden, ketua jurulatih pasukan Piala Belia, ketua jurulatih Pusat Latihan Daerah (PLD) dan jurulatih Sekolah Sukan Negeri (SSN) dari seluruh negara.

Menurut Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee, fokus utama siri webinar ini adalah untuk membincangkan tentang trend terkini bola sepak belia termasuk perancangan serta persiapan FAM bagi menyertai kejohanan-kejohanan besar selain daripada ciri-ciri yang diperlukan daripada seorang jurulatih di peringkat remaja ini.

"Siri webinar ini akan mengambil masa selama tiga siri, di mana kita akan menumpukan banyak aspek dan pada masa yang sama juga kita inginkan peserta menyertai dengan memberikan maklum balas mengenai apa yang mereka fikirkan untuk membantu daripada segi bola sepak remaja di negara kita.

"Daripada siri webinar ini juga, sudah tentu kita akan mendapatkan rumusan pada hari terakhir nanti dan setiap peserta berhak untuk menyuarakan pendapat mereka. Dari situ, kita akan memperbaikinya dan kita harap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang cukup baik," kata Kim Swee.

Selain Kim Swee, siri webinar ini turut menampilkan beberapa penyampai lain dari FAM iaitu Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan, Lim Kim Chon; Ketua Unit Belia, Razip Ismail dan Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita, Jacop Joseph manakala Ketua Unit Akar Umbi, Cameron Leon Ng bertindak selaku Moderator.

Siri kedua bakal berlangsung pada 16 Februari ini manakala siri ketiga/terakhir pada 18 Februari yang mana para peserta akan membentangkan secara berkumpulan mengikut zon bagi beberapa topik yang dipilih.