FAM, MFL GUNA RM2.45 JUTA WANG HAK PENYIARAN & DEPOSIT BANTU BAYAR TUNGGAKAN GAJI PEMAIN & PEGAWAI

2019-08-31

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) pada 29 dan 30 Ogos 2019 telah melakukan pembayaran sebanyak RM2,458,970.20 menggunakan wang hak penyiaran MFL dan baki deposit dalam simpanan FAM daripada enam pasukan Liga Super dan Liga Premier.

Ia bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan-pasukan terbabit.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada tiga pasukan Liga Super 2019 iaitu Melaka, Felda United dan Kuala Lumpur serta tiga pasukan Liga Premier 2019 iaitu PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak.

Bagaimanapun, pembayaran hanya dibuat kepada pemain dan pegawai yang kes tunggakan gaji atau tuntutan lain itu sudah diputuskan keputusannya oleh Jawatankuasa Status FAM dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi kes melibatkan pemain import.

Inisiatif untuk memotong wang hak penyiaran dan mengunakan wang deposit daripada pasukan terlibat bagi menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai ini adalah kali kedua seumpamanya dilakukan selepas FAM menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan terlibat berjumlah RM2,517,959.40 yang dipegang oleh FAM bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain pada Mac lalu.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)