FAM RANGKUL PIALA CABARAN TUNKU ABDUL RAHMAN FAM-AFC TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

2018-11-19

Pasukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berjaya merangkul Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC tiga tahun berturut-turut selepas menewaskan pasukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 5-2 pada edisi tahun ini di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Sabtu lepas.

Pasukan FAM diketuai Setiausaha Agung, Stuart Michael Ramalingam serta dibarisi kakitangan FAM lain termasuk beberapa barisan kejurulatihan dari skuad futsal kebangsaan manakala pasukan AFC pula dibarisi kakitangan mereka yang bertugas di AFC House, Bukit Jalil.

Pada aksi separuh masa pertama, FAM berjaya mendahului hasil jaringan Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad dan Muhammad Hafiz Abdullah sebelum AFC menyamakan kedudukan menerusi dua gol dari Jacob Biggs untuk kedudukan 2-2.

FAM berjaya menambah tiga lagi gol dalam separuh masa kedua menerusi Raimi Fakri (2x) yang berjaya menyempurnakan hatrik dan satu lagi gol melalui penolong jurulatih futsal lelaki B-20 kebangsaan, Mohammad Taufik Yaiyah untuk keputusan penuh 5-2.

Penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC telah dimulakan pada tahun 2016 di mana FAM muncul juara sulung selepas mencatat kemenangan tipis 6-5 ke atas AFC dan juga pada tahun 2017, FAM turut menang 4-1.

FAM dan AFC merancang penganjuran Piala Cabaran Tunku Abdul Rahman FAM-AFC ini secara bergilir setiap tahun dengan FAM menjadi tuan rumah sulung tahun 2016 diikuti AFC pada tahun lepas.

Nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih untuk trofi perlawanan persahabatan antara FAM dan AFC ini kerana Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu pernah menjadi presiden kedua-dua badan induk bola sepak terbabit.

Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden FAM selama 23 tahun dari 1951 hingga 1974 serta turut pernah memegang jawatan selaku Presiden AFC selama 19 tahun dari 1958 hingga 1977.