FINAL PIALA FAM 2018: TERENGGANU CITY FC RANGKUL TROFI

2018-09-07

Terengganu City FC unggul apabila berjaya bergelar sebagai juara Piala FAM 2018 selepas menumpaskan pasukan Selangor United 2-0 dalam perlawanan akhir saingan liga divisyen tiga itu semalam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad kendalian Md Noor Md Derus itu membuka jaringan pada minit ke-52 menerusi penyerang mereka, Mohd Rahizi Mohd Rasib. 

Skuad Terengganu City FC kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-72 apabila penyerang, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi dikasari di dalam kotak penalti. Mohd Khairul yang mengambil sepakan penalti tersebut tidak bermasalah untuk menyempurnakan jaringan meletakkan Terengganu City FC selesa 2-0 di depan.

Biarpun Terengganu City FC terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemainnya, Izzaq Roslan dilayangkan kad merah pada hujung perlawanan, namun peluang itu gagal digunakan Selangor United.

Selaku juara, Terengganu City FC membawa pulang piala pusingan dan mok cek bernilai RM200,000 manakala Selangor United selaku naib juara pulang dengan RM100,000 mok cek.

Dua pasukan ini juga telah menempah slot saingan Liga Perdana musim hadapan selaku dua pasukan terbaik dari Liga FAM. Sementara itu, PJ Rangers FC dan MOF FC pula terpaksa berputih mata apabila sekadar mengakhiri saingan di peringkat separuh akhir Piala FAM 2018 sekaligus gagal meraih tempat.

Selangor United: Muhamad Nuraizat Abdul Aziz (PG), Muhammad Ridzuan Kamis, Mohd Norhafizzuan Jailani, Muhammad Zamri Hassan (K) (Mohammad Syamim Alif Mohd Sobri 61'), R. Thivagar, Yusaini Hafiz Chee Saad, Muhammad Nur Iqmal Harun, R. Gopinath, Aikal Aidil Azlan, Mohamad Yazid Zaini, Muhammad Munawar Shavukath Ali.

Terengganu City FC: Muhamad Muslim Yusof (PG)(K), Mohd Asysham Asri (Muhammad Shafiqqudin Ibrahim 90+1'), Rusmanizam Roseland, Mohamad Sollihin Mahamad, Muhammad Zulhairi Ismail, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi (Izzaq Faris Ramlan 78'), Reeshafiq Alwi, Jasmir Mehat (Mohd Syazreen Mohd Suhaimi 88'), Muhammad Sabri Adam, Lee Yong Cheng, Mohd Rahizi Mohd Rasib.

Pengadil Perlawanan: Mohd Fusser Mad Sallih