GDT CIRCUIT FC JUARA KARNIVAL BOLA SEPAK PEREMPUAN B-14 FAM 2017

2017-11-18

GDT Circuit FC (Girls Dream Team) Singapura muncul juara Karnival Bola Sepak Perempuan B-14 FAM 2017 selepas berjaya menewaskan SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 Selaku juara, GDT Circuit FC membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 manakala SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) selaku naib juara menerima RM2,000.

 Sementara SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) meraih tempat ketiga selepas menewaskan SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) 2-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga untuk membawa pulang RM1,000.

 Nur Mecca Rania Mohd Hazri dari SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan manakala Nur Anis Erysha Zamri dari SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) sebagai penjaga gol terbaik kejohanan, masing-masing menerima RM300.

 Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Ab Ghani Hassan, Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, wakil penaja iaitu Pengurus Operasi Cosmoderm, Nur Yasmin Osman serta wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Noor Aisah Ahmad.

 Terdahulu, kejohanan bola sepak 9 sebelah ini disertai sebanyak 12 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu tiga pasukan setiap kumpulan dengan perlawanan peringkat kumpulan dimulakan pada sebelah pagi.

 Bagi Kumpulan A, SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) muncul juara dengan mengumpul enam mata maksimum diikuti naib juara, SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) dengan tiga mata dan SMK Taman Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan di tempat ketiga tanpa sebarang mata.

 Kumpulan B pula, SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) muncul juara dengan meraih empat mata, naib juara SMK Seri Kota, Melaka (SSN Melaka) dengan tiga mata manakala tempat ketiga, SMK Lubok China, Melaka dengan satu mata.

 Bagi Kumpulan C, TMS Women Tigers, Negeri Sembilan muncul juara dengan enam mata maksimum diikuti SMK Gunung Rapat (SSN Perak) dengan tiga mata selaku naib juara manakala SMK Ade Putra, Melaka ketiga tanpa sebarang mata.

 Sementara Kumpulan D, GDT Circuit FC bergelar juara dengan empat mata, dibezakan kelebihan perbezaan gol dengan naib juara, SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) juga dengan empat mata dan tempat ketiga, SMK Bandar Baru Uda, Johor tanpa sebarang mata.

 Pada aksi suku akhir, SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)  mudah membelasah SMK Seri Kota, Melaka (SSN Melaka) dengan jaringan 5-0, SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang)  menewaskan TMS Women Tigers, Negeri Sembilan 2-0, SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) mengatasi SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor) 2-0 manakala GDT Circuit FC membenam SMK Gunung Rapat (SSN Perak) 3-0.

 Pada aksi separuh akhir, SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) terus cemerlang dengan menewaskan SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) 3-0 manakala GDT Circuit FC mudah membelasah SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) 5-0.

 

* Lagi gambar di https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1484388584991234&id=340566959373408