ISU TIFO ANJING DI STADIUM TAN SRI HASSAN YUNOS, LARKIN PADA 31 JANUARI 2015

KENYATAAN RASMI SETIAUSAHA AGUNG PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA

YANG BERBAHAGIA DATO' HAMIDIN MOHD. AMIN 



ISU TIFO ANJING DI STADIUM TAN SRI HASSAN YUNOS, LARKIN PADA 31 JANUARI 2015




PERTAMA: Apa yang berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos semalam iaitu isu kain rentang bergambar anjing itu adalah sikap segelintir penyokong yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengakui rasa kecewa dan baginda menganggap isu kain rentang itu adalah satu perbuatan tidak wajar kerana jika penyokong-penyokong tidak berpuas hati, mereka perlu mendapatkan fakta-fakta terlebih dahulu.
Justeru, saya percaya kejadian ini berlaku kerana penyokong-penyokong tidak mendapat fakta yang jelas.

KEDUA: Persatuan negeri dan kelab perlu bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi, sehingga pagi tadi, saya telah dimaklumkan oleh Presiden PBNJ sendiri kepada saya bahawa baginda mengarahkan pihak marshall yang ditubuhkan dibawah PBNJ dibantu pihak polis, untuk menurunkan kain rentang itu dan seramai 12 penonton telah ditangkap dan ditahan reman selama lima hari.

Dalam masa yang sama, FAM juga tidak mahu terlepas untuk memberikan pujian kepada PBNJ bahawa mereka telah bertindak cepat untuk mengelakkan kejadian lebih buruk akan berlaku dan berjaya menangkap penyokong-penyokong tidak bertanggungjawab ini.
Walaubagaimanapun, pihak FAM akan menghantar surat tunjuk sebab kepada PBNJ mengenai kejadian tersebut.

KETIGA: Pihak FAM juga akan mengeluarkan surat pekeliling kepada seluruh persatuan bola sepak negeri dan kelab supaya memantau kain rentang penyokong-penyokong yang datang ke stadium supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang berbau politik atau menimbulkan provokasi.Ini kerana mereka perlu ingat bahawa FAM adalah bukan persatuan yang dikendalikan oleh satu individu sahaja dan FAM adalah meliputi semua kelab dan persatuan negeri gabungan.Ini bermakna semua ahli gabungan di bawah FAM adalah bertanggungjawab dalam hal ini dan semua penyokong-penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak terkecuali.

NAMUN, saya mewakili pihak FAM cukup kesal dengan kejadian tersebut tetapi saya sekali lagi mahu memberikan pujian kepada Tunku Ismail dan PBNJ bahawa mereka bertindak pantas untuk menangkap 12 penyokong dalam tempoh sejam.Pihak PBNJ telah menghubungi saya pukul tiga pagi tadi dan kalau kita lihat semalam, perlawanan (Johor DT menentang Pahang) begitu cantik yang mana kejadian itu sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian permainan.

CADANGAN UNTUK LANTIK MARSHALL SEBAGAI PERATURAN TETAP LIGA M

FAM juga ingin memaklumkan bahawa langkah PBNJ menubuhkan marshall sendiri untuk membantu pihak polis telah menarik minat FAM dan tindakan ini perlu dicontohi oleh seluruh persatuan negeri dan kelab di Liga M. Saya kira persatuan negeri atau kelab perlu mengeluarkan sedikit bajet untuk melantik khidmat marshall.

Saya telah berbincang dengan Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Afandi Hamzah dan ada kemungkinan FAM akan mengumumkan untuk menambah pelantikan marshall dalam peraturan Liga Malaysia demi kebaikan bola sepak negara.Ini kerana kehadiran marshall dapat membantu pihak polis untuk mengawal suasana perlawanan dan langkah ini sudah terbukti di luar negara. FAM akan melihat semua kedudukan bagi membantu pihak polis demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

ISU KAIN RENTANG BAKAL DIBINCANGKAN DALAM MESYUARAT JAWATANKUASA PERTANDINGAN TEMPATAN

FAM mendapat banyak pandangan dari penyokong-penyokong tentang sama ada kayu bendera boleh dibawa masuk. Memang ada negara yang membenarkan kayu dibawa masuk. Saya melihat perkara ini dari sudut kebaikan tetapi kita akan membawa isu ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM tetapi sebelum ini, FAM melihat kayu tersebut boleh dianggap satu objek yang merbahaya dan boleh mencederakan orang ramai, tidak dibenarkan. Kita akan lihat balik dan kaji perkara tersebut sama ada ia masih relevan atau sebaliknya.

 

More News and Articles

J Category: 
news