KELAYAKAN PIALA ASIA WANITA 2022: MALAYSIA 0-4 THAILAND

2021-09-20

Skuad wanita kebangsaan kendalian Jacob Joseph tewas 4-0 kepada Thailand pada aksi pertama Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, petang semalam (Waktu Palestin).

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin itu, gawang Malayan Tigress dibolosi Thailand seawal minit pertama oleh K. Chetthabur diikuti jaringan kedua menerusi N. Pram-Nak pada minit ketiga.

Malaysia cuba merapatkan kedudukan menerusi cubaan penyerang muda negara, Henrietta Justine pada minit ke-18 namun berjaya dihalang oleh penjaga gol Thailand, W. Bonsing.

Chetthabur sekali lagi menjaringkan gol untuk pasukan lawan pada minit ke-37 bagi menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 3-0.

Usaha kesebelasan utama skuad wanita kebangsaan yang rata-rata dibarisi pemain muda wajar dipuji apabila dapat menggagalkan banyak cubaan bahaya dari Thailand selama 90 minit.

Bagaimanapun Thailand menambah gol keempat pada tambahan masa separuh masa kedua menerusi penyudah Chetthabur yang berjaya melengkapkan hatrik.

Penjaga gol Malayan Tigress, Azurin Mazlan sewajarnya dinobatkan sebagai 'Women of the Match' apabila aksi cemerlang beliau menjaga gawang Malaysia berjaya menggagalkan hasrat Thailand untuk menambah lebih gol. 

Skuad Malayan Tigress akan meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan perlawanan menentang skuad wanita Palestin pada 22 September ini di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin. 

MALAYSIA:  23. Azurin Mazlan (PG), 4. Henrietta Justine, 7. Jaciah Jumilis, 8. Nur Faiqah Safira (5. Alice Mic Micheal 47'), 15. Pedrolia Martin (6. Lyana Soberi 47'), 9. Jessica Mailu, 10. Steffi Sarge Kaur (K), 13. Andrea Lee Xin Yi (19. Dadree Rofinus 76'), 14. Nurfaizah Saidin, 17. Malini Nordin, 22. Waitie Taming.

THAILAND: 1. W. Boonsing (PG) (18. C. Thongmongkol 47' (PG)), 5. A. Utchai, 7. S. Intamee (K), 8. N. Panyosuk (21. C. Rodthong), 10. S. Srangthaisong, 12. N.Pram-Nak, 13. K. Chetthabutr, 15. O. Waenngoen, 16. U. Yongkul, 17. T. Dangda, 19. P. Sornsai.

Pengadil: Cha Minji (Republik Korea)