Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019: Malaysia 0-6 Palestin

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya tewas 6-0 kepada Palestin pada perlawanan kedua Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
 
 Palestin mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Musab Battat pada minit kesembilan, Sameh Maraaba (m-22) dan Tamer Seyam (m-42).
 
 Pada separuh masa kedua, Palestin menambah tiga lagi gol menerusi pemain gantian, Khader Abuhammad (m-63) serta jaringan kedua peribadi Maraaba (m-75) dan Seyam (m-85).
 
 Sementara itu, pada satu lagi perlawanan Kumpulan A, Timor Leste yang menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang sendiri sementara tewas 1-0 kepada UAE, petang semalam.
 
 Selepas dua perlawanan (kecuali Arab Saudi dan UAE baru satu perlawanan), Palestin kini di tangga teratas Kumpulan A dengan 3 mata diikuti Arab Saudi (3), UAE (3), Timor Leste (1) dan Malaysia (1).
 
 Perlawanan ketiga dan keempat selepas ini bakal menyaksikan Malaysia bertemu UAE di Abu Dhabi pada 3 September sebelum menanti kunjungan Arab Saudi di laman sendiri pada 8 September ini.
 
MALAYSIA: 1. Farizal Marlias; 16. S Kunanlan (4. Mahali Jasuli 18'), 2. Muslim Ahmad, 3. Fadhli Shas, 21. Zubir Azmi; 11. Ahmad Syamim Yahya (13. Indra Putra Mahayuddin '70), 12. Nasir Basharuddin, 8. Safiq Rahim (K), 18. Ahmad Hazwan Bakri (10. Safee Sali 59'); 17. Amri Yahyah, 7. Afiq Azmi.
 
PALESTIN: 1. Tawfiq Abuhammad; 7. Musab Battat, 4. Ahmed Mahajna, 5. Tamer Salah (21. Mohammed Abukhamis 18'), 14. Abdallah Jaber; 10. Sameh Maraaba, 17. Pablo Bravo (20. Khader Abuhammad 55'), 23. Mohammed Darwish, 9. Tamer Seyam;  12. Mahmoud Dhadha (11. Ahmed Wridat 82'), 19. Matias Hadwa.
 
PENGADIL: Kim Sang Woo (Korea Selatan)
 
 
KOMEN JURULATIH MALAYSIA, DOLLAH SALLEH
 
"Dua gol awal membuatkan pemain seperti hilang semangat. Nak bangkit semula pun tak mampu. Mereka dapat seketika menguasai permainan tetapi selepas gol ketiga, semuanya musnah.
 
 "Separuh masa kedua, awal minit nampak bagus apabila beberapa serangan dapat dilakukan tetapi sekali lagi kita memberikan gol keempat kepada Palestin dan selepas itu pemain nampak sudah berputus asa.
 
 "Saya bukan pengecut (ketika diajukan sama ada beliau mahu meletak jawatan). Saya tak panik tetapi saya kecewa dengan keadaan yang ditunjukkan para pemain.
 
 "Kalau ikutkan, memang saya nak senaraikan lebih ramai pemain muda tetapi mereka beraksi di Sukan SEA. Jadi saya hanya boleh panggil mana yang ada.
 
 "Kita kena berubah. Dari segi karakter dan semuanya. Banyak yang perlu saya ubah. Kita perlu buat persiapan lebih rapi selepas ini. Saya perlu lakukan perubahan, mungkin setengah pemain saya akan tukar.  itu saya akan bincang dengan barisan kejurulatihan."
 
 
KOMEN JURULATIH PALESTIN, ABDEL NASSER BARAKAT
 
"Kami memang mahu memenangi perlawanan ini tetapi kami terkejut dapat kemenangan besar. Saya tak sangka Malaysia sudah berputus asa selepas ketinggalan 3-0.
 
 "Saya rasa mereka perlu lakukan seperti Palestin iaitu menukar hampir keseluruhan pemain. Saya rasa ramai pemain muda berbakat di Malaysia dan mereka perlu melakukan seperti apa yang kami lakukan.
 
 "Ini kemenangan paling mudah buat pasukan kami. Saya tak sangka boleh menang besar kerana kami dibarisi ramai pemain-pemain baharu. Sasaran saya ialah untuk membina pasukan kebangsaan yang baharu untuk masa depan dan menang 6-0 ini satu pengalaman yang cukup baik."
 
J Category: 
uncategorised7