KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: INDONESIA 2-3 MALAYSIA

2019-09-06

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe memulakan kempen saingan Kumpulan G dengan meraih tiga mata penuh dari tempat lawan selepas berjaya menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Malaysia, ranking ke-159 dunia tersentak apabila Indonesia, ranking ke-160 dunia kendalian Simon McMenemy berjaya memperoleh gol pertama selepas Beto Goncalves menyudahkan lorongan Saddil Ramdani pada minit ke-12.

Bagi memperkasa jentera serangan terutama di bahagian sayap, Cheng Hoe telah membuat pertukaran awal dengan membawa masuk Mohamadou Sumareh menggantikan Hadin Azman pada minit ke-36.

Tidak sampai seminit dimasukkan, Sumareh berjaya menjaringkan gol penyamaan Malaysia pada minit ke-37 menerusi larian deras di sebelah kiri selepas menerima bola hantaran Nor Azam Abdul Azih yang disudahkannya menerusi sentuhan kemas untuk menewaskan penjaga gol yang juga kapten Indonesia, Andritany Ardhiyasa.

Namun kegembiraan itu hanya bertahan seketika selepas Indonesia sekali lagi di hadapan apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-39, juga menerusi Goncalves yang menyudahkan hantaran Andik Vermansah untuk menamatkan babak pertama dengan Malaysia ketinggalan 2-1.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia mula mendapat rentak permainan dan akhirnya pada minit ke-66, Syafiq Ahmad berjaya menjaringkan gol penyamaan 2-2 buat Malaysia selepas menanduk kemas bola hantaran Safawi Rasid dari sebelah kanan, susulan daripada situasi bola sepakan sudut sebelum itu.

Sejurus kemudian, permainan terhenti beberapa minit berikutan insiden penyokong Indonesia masuk ke kawasan trek.

Selepas bersambung, Malaysia tampak lebih banyak melakukan asakan dan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol tuan rumah.

Akhirnya pada minit ke-97, Malaysia berjaya memperoleh gol kemenangan apabila hantaran Matthew Davies dari sebelah kanan berjaya disudahkan oleh Sumareh untuk keputusan muktamad 3-2 berpihak kepada Malaysia.

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan G di Stadium Thammasat, Bangkok, tuan rumah Thailand seri 0-0 dengan Vietnam. Satu lagi pasukan, UAE tidak beraksi untuk Hari Perlawanan 1 ini.

Seterusnya bagi aksi Hari Perlawanan 2 pada 10 September 2019, Malaysia akan menanti kunjungan UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala Indonesia melayan Thailand di Gelora Bung Karno. Vietnam tidak beraksi.

 

INDONESIA: 22. Andritany Ardhiyasa (PG)(K), 3. Yustinus Pae, 4. Zulfiandi (19. Rizky Pellu 46'), 7. Saddil Ramdani (18. Irfan Jaya 51'), 8. Evan Dimas, 9. Beto Goncalves, 10. Stefano Lilipaly, 13. Manahati Lestusen, 15. Ricky Fajrin (14. Ruben Sanadi 79'), 21. Andik Vermansah, 23. Hansamu Yama.

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG)(K); 2. Matthew Davies, 3. Shahrul Saad, 5. Adam Nor Azlin, 7. La'Vere Corbin-Ong; 6. Brendan Gan, 8. Nor Azam Abdul Azih; 11. Safawi Rasid, 20. Syafiq Ahmad (14. Syamer Kutty Abba 82'), 16. Hadin Azman (13. Mohamadou Sumareh 35'); 9. Norshahrul Idlan Talaha (19. Akhyar Rashid 66').

Pengadil: Ko Hyungjin (Republik Korea)

 

KREDIT FOTO: Hazrin Zaidun | asiana.my