KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: MALAYSIA 1-2 UAE

2019-09-11

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berjaya memberikan saingan hebat kepada pasukan ranking ke-65 dunia, UAE sebelum tewas 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Malaysia, ranking ke-159 dunia bagaimanapun terlebih dahulu berjaya mengejutkan UAE kendalian Bert van Marwijk selepas hantaran lintang Matthew Davies dari sebelah kanan berjaya ditanduk masuk Syafiq Ahmad hanya selepas 33 saat perlawanan dimulakan.

Ia tampak memberi keyakinan kepada para pemain Harimau Malaya untuk melakukan serangan dan asakan ke pintu gol UAE, namun dikecewakan dengan sentuhan penyudah kurang berkesan yang menyaksikan tiada gol tambahan dapat dihasilkan.

Sebaliknya pada minit ke-43, UAE berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas hantaran lintang Mohamed Saleh Almenhali dari sebelah kanan berjaya ditanduk masuk oleh penyerang utama mereka, Ali Ahmed Mabkhout.

Bersambung babak kedua, permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan tetapi UAE berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-75 selepas sedikit kesilapan di barisan pertahanan membenarkan Ali menjaringkan gol kedua peribadinya untuk meletakkan UAE di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Peluang terbaik Malaysia untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-79, namun percubaan kaki kiri Safawi Rasid selepas menerima lorongan Brendan Gan sekadar menggegar tiang gol UAE.

Pada masa kecederaan, Brendan sekali lagi mencuba menerima sepakan lencong dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol UAE, Khalid Eisa untuk kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, tuan rumah Indonesia mengalami kekalahan kedua berturut selepas tewas 3-0 kepada Thailand. Vietnam tidak beraksi pada Hari Perlawanan 2 ini.

Kedudukan semasa Kumpulan G, Thailand di tangga teratas dengan 4 mata diikuti UAE (3), Malaysia (3), Vietnam (1) dan Indonesia (0).

Seterusnya bagi aksi Hari Perlawanan 3 pada 10 Oktober 2019, Malaysia akan bertandang ke Stadium Nasional My Dinh, Hanoi untuk berdepan Vietnam manakala UAE menanti kunjungan Indonesia di Dubai. Thailand tidak beraksi.

 

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (PG)(K); 2. Matthew Davies, 3. Shahrul Saad, 5. Adam Nor Azlin, 7. La'Vere Corbin-Ong; 6. Brendan Gan, 8. Nor Azam Abdul Azih; 13. Mohamadou Sumareh (14. Syamer Kutty Abba 66'), 20. Syafiq Ahmad (19. Akhyar Rashid 77'), 11. Safawi Rasid; 9. Norshahrul Idlan Talaha (15. J Partiban 61').

UAE: 17. Khalid Eisa (PG), 2. Mohamed Saleh Almenhali, 3. Walid Abbas (K), 5. Ali Hassan Al-Blooshi, 7. Ali Ahmed Mabkhout, 11. Jassim Yaqoob Al-Balooshi (6. Majid Ibrahim 88'), 12. Khalifa Al Hammadi, 13. Ahmed Barman, 14. Khalil Ibrahim (10. Omar Abdulrahman 74'), 19. Mohammed Omar Al Attas, 20. Ali Saleh Amro (15. Ismail Al Hammadi 84').

Pengadil: Hiroyuki Kimura (Jepun)