KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022/PIALA ASIA 2023: MALAYSIA 2-1 THAILAND

2019-11-15

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berjaya meraih kemenangan kedua dalam kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas bangkit daripada ketinggalan menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan keempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia yang berada di ranking ke-158 dunia masih kekal di tangga keempat Kumpulan G dengan enam mata tetapi berjaya menyamai jumlah mata dengan pasukan tangga ketiga, UAE yang tewas 1-0 kepada Vietnam di Hanoi.

Kekalahan turut menyaksikan Thailand, ranking ke-109 dunia kendalian Akira Nishino turun ke tangga kedua dengan tujuh mata dan telah dipintas oleh Vietnam selaku pendahulu baharu Kumpulan G dengan 10 mata.

Indonesia pula yang tidak beraksi malam tadi kekal di tangga kelima tanpa sebarang mata. Kesemua lima pasukan dalam Kumpulan G ini sudah beraksi empat perlawanan.

Pada aksi di Bukit Jalil malam tadi, Malaysia ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi Chanathip Songkrasin yang pantas menyambar bola lorongan Ekanit Panya dari sebelah kanan untuk menewaskan Khairulazhan Khalid di gawang tuan rumah.

Namun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi penyudah kaki kiri oleh Brendan Gan di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Syamer Kutty Abba dari sebelah kiri untuk kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus bersemangat dan berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-56, kali ini kuisan menarik daripada Brendan berjaya disudahkan dengan rembatan deras di depan pintu gol oleh Mohamadou Sumareh.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk tiga mata penting buat skuad Harimau Malaya.

Seterusnya, Malaysia akan bertemu Indonesia, juga di Stadium Nasional bagi perlawanan kelima pada Selasa ini, 19 November 2019.

 

MALAYSIA: 22. Khairulazhan Khalid (PG); 4. Syahmi Safari (2. Matthew Davies 81'), 3. Shahrul Saad, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (K), 6. La'Vere Corbin-Ong; 15. Brendan Gan, 8. Nor Azam Abdul Azih (12. Afiq Fazail 81'), 14. Syamer Kutty Abba; 13. Mohamadou Sumareh (19. Akhyar Rashid 84'), 20. Syafiq Ahmad, 11. Safawi Rasid.

THAILAND: 23. Siwarak Tedsungnoen (PG)(K); 19. Tristan Do (15. Narubadin Weerawatnodom 90'), 14. Manuel Bihr, 3. Elias Dolah, 12. Korrakot Wiriyaudomsiri; 16. Phitiwat Sukjitthammakul, 4. Sarach Yooyen (21. Sivakorn Tiatrakul 56'); 8. Ekanit Panya (11. Bordin Phala 83'), 18. Chanathip Songkrasin, 7. Supachok Sarachat; 10. Teerasil Dangda.

Pengadil: Ali Sabah Adday Al-Qaysi (Iraq)