KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL DAN PEMBANGUNAN FAM KALI KEEMPAT BAGI PENGGAL 2021-2025

2022-08-16

Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 pada Khamis, 11 Ogos 2022 telah membincangkan beberapa perkara dan mencapai keputusan, antaranya:

 

1. Jawatankuasa memutuskan supaya had umur bagi pertandingan Piala Presiden diubah dari B-21 ke B-20 manakala Piala Belia dari B-19 ke B-18 supaya selaras dengan kitaran had umur bagi pertandingan AFC.

2. Program akar umbi bagi tahun 2023 akan diperkasakan dengan matlamat untuk mendapatkan keahlian emas Piagam Akar Umbi AFC yang mana FAM kini memegang keahlian perak. Liga SupaRimau B-12, B-14 dan B-16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga secara kompetitif) manakala bagi kategori B-6, B-8 dan B-10 akan lebih fokus ke arah pembangunan iaitu tanpa carta kedudukan liga kerana ia akan dijalankan secara konsep festival.

3. FAM akan menggunakan platform FIFA Talent Development Scheme (TDS) untuk mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat dalam semua jenis pertandingan di seluruh pelosok negara. Pencari bakat ini bukan saja dalam kalangan jurulatih tetapi juga individu yang mempunyai kebolehan tersebut. TDS merupakan platform yang disediakan FIFA kepada ahli-ahli gabungannya untuk membantu individu-individu yang terlibat ini melakukan pencarian bakat dengan cara dan kaedah yang bersistematik.

4. FAM akan bekerjasama dengan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) untuk menyediakan bantuan teknikal termasuk dalam mengenal pasti calon sesuai sebagai ketua jurulatih bagi menjalankan program-program mereka.

5. Jawatankuasa mengesahkan untuk gol yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai 2022 dihantar secara rasmi cadangan pencalonannya ke FIFA untuk Anugerah Puskas FIFA 2022.

 

DATO' S. SIVASUNDARAM

TIMBALAN PRESIDEN PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM) MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA TEKNIKAL DAN PEMBANGUNAN FAM

 

16 OGOS 2022