KIM SWEE SASAR MENANG DI MANILA UNTUK BAIKI RANKING

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan pada perlawanan antarabangsa "A" bertemu Filipina di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 22 Mac ini selepas beberapa pertemuan dengan The Azkals sebelum ini berakhir dengan keputusan seri.
 
 Bagi pengendali berusia 47 tahun itu, kemenangan ke atas Filipina yang kini di ranking ke-124 dunia mampu memperbaiki kedudukan ranking Malaysia yang naik satu anak tangga ke kedudukan ke-161 dunia selepas kemas kini terbaharu, semalam.
 
 "Bagi saya, perlawanan menentang Filipina ini cukup penting kerana kita sudah hampir empat bulan tidak beraksi untuk perlawanan antarabangsa selepas berakhir kempen Piala Suzuki AFF 2016 pada November lalu.
 
 "Jika dilihat rekod pertemuan kita dengan Filipina, sering kali berakhir dengan keputusan seri. Jadi sudah tentu kali ini kita mahukan kemenangan tetapi bukan sesuatu yang mudah kerana Filipina juga pasukan yang baik dan kedudukan ranking mereka jauh lebih baik daripada kita," kata Kim Swee kepada www.fam.org.my, hari ini.
 
 Diminta mengulas mengenai senarai nama 23 pemain dipanggilnya untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia bermula Isnin ini, Kim Swee berkata, majoriti pemain sama dikekalkan kerana persefahaman yang telah dibentuk dalam kem-kem latihan sebelum ini selain beberapa nama baharu yang tersenarai berdasarkan prestasi semasa dalam Liga Super 2017.
 
 "Daripada lima pemain yang digugurkan, tiga daripadanya mengalami kecederaan iaitu Ahmad Fakri Saarani, Irfan Fazail dan Darren Lok.
 
 "Muka baharu yang dipanggil pula adalah berdasarkan prestasi baik mereka dalam saingan liga seperti Farizal Harun, Akram Mahinan dan Afif Amiruddin.
 
 "Saya tak boleh melakukan terlalu banyak pertukaran pemain kerana jika kita tukar ramai sangat, kita perlu melakukan sesuatu yang lain dalam tempoh agak terhad ini. Jadi majoriti pemain dipanggil ini sudah memahami apa yang perlu kita lakukan," jelas Kim Swee.
 
 Namun Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa nama lain jika terdapat mana-mana pemain mempamerkan persembahan baik pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA, malam esok.
 
 "Mungkin selepas perlawanan malam esok, jika ada kecederaan atau sebagainya, kita mungkin akan panggil pemain lain yang menunjukkan prestasi lebih baik kerana kita masih mempunyai masa untuk menyenaraikan pemain jika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini diteruskan.
 
 "Sekarang kita masih belum pasti sama ada akan hanya beraksi satu perlawanan bertemu Filipina atau dua perlawanan bertemu Filipina dan Korea Utara. Kita masih menunggu kata putus daripada AFC," kata Kim Swee.
 
 Kim Swee yang masih berada di Melaka bagi urusan keluarga selepas bapanya meninggal dunia, Selasa lalu turut memberitahu yang sesi hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini akan dikendalikan penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney.
 
 "Saya akan pulang ke Kuala Lumpur kemungkinan pada Selasa selepas segala urusan selesai," jelasnya.