KOMEN DATUK ONG KIM SWEE SELEPAS DILANTIK KETUA JURULATIH KEBANGSAAN YANG BAHARU

2016-01-18

"Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan FAM terutama Jawatankuasa Pasukan Petugas FAM yang diketuai Dato' Mokhtar Ahmad kerana memberi kepercayaan ini kepada saya.

 "Sudah tentu ini satu cabaran cukup besar dan saya harap dengan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu mencapai prestasi lebih baik.
 
 "Sebagai program jangka pendek, kita akan menghadapi Arab Saudi pada 24 Mac ini untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018.
 
 "Kemudian kita akan menghadapi perlawanan playoff untuk ke peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019. Kita harus menunggu undian dan saya percaya kita mampu layak ke peringkat kumpulan kelayakan. Ia penting untuk kita mendapatkan banyak perlawanan sepanjang 2017.
 
 "Bagi mencapai sasaran ranking ke-140 dunia yang ditetapkan, ia bukan mustahil tetapi harus mengambil masa. Saya percaya, dengan jadual dan program yang dirancang jika dilakukan dengan betul, kita mampu mencapai tahap itu tetapi bukan dalam sekelip mata.
 
 "Untuk Piala Suzuki AFF 2016 pula, kita sudah layak ke final edisi sebelum ini dan sudah tentu tujuan utama kita kali ini pastinya mahu menjadi juara. Tapi saya perlukan bantuan banyak pihak, bukan saya pemantau bakat tempatan, malah pemantau untuk melihat persiapan pasukan lain seperti Thailand, Singapura dan Myanmar.
 
 "Apa yang mustahak, pemain-pemain utama kita perlu mendapat tempat bersama pasukan kelab dalam aksi Liga Malaysia 2016. Jika ikut perancangan, saya cadang banyak perlawanan persahabatan A untuk saya melakukan transisi pemain-pemain muda untuk dimasukkan ke skuad kebangsaan bersama pemain-pemain senior.
 
 "Dua kali sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan, ketika itu masa singkat dan saya tak boleh buat banyak perkara. Tapi kini, saya melihat ada ruang waktu yang panjang untuk kita menyediakan sebuah pasukan kebangsaan yang lebih baik.
 
 "Sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, saya rasa cabarannya tak banyak berbeza dengan semua jurulatih yang dilantik sebelum ini. Setiap perlawanan adalah penting untuk mencapai sesuatu sasaran yang ditetapkan."
 
DATUK ONG KIM SWEE
KETUA JURULATIH SKUAD KEBANGSAAN MALAYSIA
18 JANUARI 2016