LAWATAN KERJA NFABD KE WISMA FAM

2016-04-21 

Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

 Lawatan berkenaan diketuai Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Awang Haji Madli Haji Mohd Yusof; Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal Pengiran Haji Mahmud serta sembilan ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD.

 Kehadiran mereka disambut Timbalan Presiden FAM, Dato' Sri Haji Afandi Hamzah; Setiausaha Agung FAM, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin; dua Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman dan Lazarus Jansen Xavier serta barisan ketua jabatan FAM.

 Menurut Awang Haji Madli, pemilihan FAM untuk lawatan kerja kali ini adalah disebabkan perkembangan dan sejarah bola sepak Malaysia selain minat mendalam rakyat dan peminat bola sepak di Brunei terhadap bola sepak Malaysia.

 "Antara sebabnya ialah melihat kepada perkembangan serta sejarah lampau dan juga persamaan kedua-dua negara dalam membangunkan kemajuan sukan ini.

 "Memang diakui juga bahawa penduduk dan rakyat Brunei sangat berminat untuk mengikuti perkembangan bola sepak di Malaysia. Setiap perlawanan yang disiarkan di televisyen, penonton-penonton di Brunei sangat ghairah untuk menyaksikannya.

 "Jadi melihat keadaan tersebut dan persamaan yang ada, maka kami sebulat suara untuk mengadakan lawatan kerja ke FAM," kata Awang Haji Madli ketika berucap pada permulaan majlis lawatan kerja berkenaan, hari ini.

 Pada lawatan kerja itu, delegasi dari NFABD telah diberi penerangan dan sesi soal jawab bersama ketua jabatan-jabatan di bawah pentadbiran FAM iaitu jabatan sumber manusia, jabatan kewangan, jabatan pemasaran, jabatan kejurulatihan, jabatan pertandingan dan jabatan undang-undang.

 Tambah Awang Haji Madli: "Walaupun NFABD sudah berjalan, kami masih di peringkat untuk mempelajari terutama dari segi struktur pengurusan, pentadbiran dan kemajuan pasukan kebangsaan."

 Pada penutup majlis berkenaan, Dato' Haji Hamidin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD dan berharap kolaborasi antara kedua-dua badan induk itu akan berterusan pada masa akan datang.

 "Saya secara peribadi telah bertemu Presiden NFABD, Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah kira-kira dua atau tiga bulan lepas dan beliau telah menyatakan hasrat untuk membawa barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD ke Wisma FAM dan nampaknya hari ini ia telah berjaya diterjemahkan.

 "Kami di FAM mengalu-alukan kehadiran NFABD untuk lawatan kerja ini dan kolaborasi seperti ini perlu diteruskan," kata Dato' Haji Hamidin.

 Lawatan kerja sehari NFABD ke Wisma FAM itu diakhiri dengan sesi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership), Kevin Ramalingam mengenai pengendalian Liga Super dan Liga Premier pada sesi sebelah petang.