MAJLIS UNDIAN PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2021

2021-04-03

Majlis undian ini telah berlangsung di Hotel Armada Petaling Jaya, Selangor, hari ini sebagai acara kemuncak bagi Taklimat Pasukan Piala Presiden & Piala Belia 2021 selama dua hari bermula semalam.

Ia dihadiri oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Encik Mohd Firdaus Mohamed dan Exco FAM, Tuan ACP (B) Md Dali Wahid, masing-masing selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM serta Penolong Setiausaha Agung FAM, Encik Abang Zulkarnain Abang Abdurahman selaku Pengarah Pertandingan FAM.

Pada majlis undian tersebut, pasukan-pasukan yang bertanding ini telah diasingkan ke dalam empat balang iaitu balang Utara, Selatan, Timur dan Tengah (termasuk pasukan dari Borneo).

Mereka kemudian diundi masuk sama ada ke dalam Kumpulan A yang terdiri daripada pasukan Utara, Timur dan Tengah; Kumpulan B terdiri daripada pasukan Selatan, Timur dan Tengah; atau Kumpulan C terdiri daripada pasukan Tengah (termasuk pasukan dari Borneo) dan Timur, mengikut mekanisme undian yang telah ditetapkan.

Encik Mohd Firdaus kemudian turut menyampaikan ucapan penutup kepada para peserta yang terdiri daripada wakil 19 pasukan Piala Presiden dan 20 pasukan Piala Belia yang bakal bertanding bagi saingan musim 2021 ini.

Saingan peringkat kumpulan bagi Piala Presiden 2021 akan bermula pada 3 Jun 2021 diikuti peringkat kalah mati (Pusingan 16, Suku Akhir, Separuh Akhir & Final) dari 9 Ogos hingga 19 September 2021.

Sementara saingan peringkat kumpulan Piala Belia 2021 akan bermula pada 2 Jun 2021 diikuti dua perlawanan play-off pada 31 Julai dan 4 Ogos 2021, seterusnya peringkat kalah mati (Pusingan 16, Suku Akhir, Separuh Akhir & Final) dari 8 Ogos hingga 4 September 2021.