ONG KIM SWEE SAH SAFIQ TERLEPAS DUA AKSI TIMOR-LESTE

2016-05-31

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, hari ini membuat keputusan menggugurkan ketua pasukan, Safiq Rahim daripada senarai pemain untuk dua perlawanan Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, 2 dan 6 Jun ini.

 Ia selepas laporan doktor mendapati bahawa pemain tengah berusia 29 tahun yang juga kapten Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak sempat pulih daripada kecederaannya dalam masa terdekat ini.

 "Mengikut laporan doktor, Safiq memerlukan masa lebih lama untuk pulih. Jadi kita mengambil keputusan untuk melepaskan Safiq memandangkan dia tidak dapat diturunkan untuk kedua-dua perlawanan menentang Timor-Leste pada 2 dan 6 Jun ini.

 "Jadi, Safiq akan menjalani rawatan lanjut dengan pihak perubatan JDT. Skuad Harimau Malaysia kini tinggal 24 pemain dan tiada penggantian tempat Safiq buat masa ini memandangkan kita hanya perlu mendaftarkan 23 pemain untuk setiap perlawanan play-off itu nanti," kata Kim Swee kepada www.fam.org.my, hari ini.

 Safiq sebelum ini turut tidak dapat dibawa ke Yangon untuk perlawanan persahabatan "A" bertemu Myanmar yang berkesudahan seri 0-0 pada Sabtu lalu (28 Mei 2016) tetapi Kim Swee tetap memintanya melapor diri setibanya pasukan di Johor Bahru, Ahad lalu bagi menilai tahap kecederaannya.

 Dalam pada itu, Kim Swee turut memberitahu bahawa tumpuannya ketika ini adalah menajamkan bahagian serangan kerana skuad Harimau Malaysia memerlukan jaringan untuk memenangi pertembungan timbal balik play-off dengan Timor-Leste ini bagi melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 bermula awal tahun depan.

 "Sesi latihan kita ketika ini lebih menumpukan perhatian di bahagian serangan. Apa pun yang paling mustahak adalah keseluruhan taktikal iaitu bukan saja di bahagian serangan tetapi ketika bertahan dan juga menyerang.

 "Selepas menyaksikan perlawanan persahabatan Timor-Leste bertemu Kemboja (Ahad lalu), beberapa perkara telah saya kenal pasti.

 "Di situ saya dapat menilai kelemahan dan kekuatan mereka yang mana kita perlu mengambil kesempatan dan pada masa yang sama tetap perlu berwaspada. Jadi saya akan lebih menerapkan taktikal lebih menyerang untuk berdepan Timor-Leste nanti," jelas Kim Swee.

 

FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS