Perjanjian perkongsian antara FAM dan J.League

Hari ini berlangsung sidang media majlis menandatangani perjanjian perkongsian antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Profesional Jepun (J.League) di Wisma FAM, Kelana Jaya.
 
 Majlis dihadiri Timbalan Presiden FAM, Dato' Abdul Mokhtar Ahmad; Setiausaha Agung FAM, Dato' Hamidin Mohd Amin; Naib Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) merangkap Pengerusi J.League, Mitsuru Murai serta Menteri dan Timbalan Ketua Delegasi, Yoshinori Kodama.
 
 Perjanjian perkongsian antara FAM dan J.League ini sah berkuatkuasa bermula dari 30 Januari 2015.
 
 Berikut adalah kandungan yang tertakluk di bawah perjanjian berkenaan bagi pembangunan liga bola sepak profesional di kedua-dua negara - Malaysia dan Jepun seperti mana diperakui dan dipersetujui kedua-dua pihak:
 
1. Untuk bertukar informasi yang perlu bagi pembangunan tahap pertandingan liga di Malaysia dan Jepun.
 
2. Untuk berkongsi pengetahuan dan menganjurkan seminar berkenaan liga profesional dan pengurusan kelab, terutama dalam bidang pemasaran.
 
3. Untuk mengadakan program pertukaran, pemerhatian dan latihan kepada jurulatih, pengadil, pemain, jurulatih kecergasan, pasukan perubatan, pengurusan pertandingan, akademi dan pemasaran.
 
4. Untuk mengadakan perlawanan persahabatan antara kelab-kelab Liga Super Malaysia, Liga Premier Malaysia dan J.League.
 
5. Untuk mengadakan pertandingan, perlawanan persahabatan dan kem latihan pusat bersama bagi pasukan peringkat belia.
 
6. Untuk mewujudkan dan menggalakkan peluang bagi pemain Malaysia menyertai kelab di J.League dan pemain dari Jepun beraksi bersama kelab Liga Super Malaysia dan Liga Premier Malaysia.
 
7. Untuk menyediakan sokongan kepada J.League bagi menyiarkan perlawanan mereka dan menggalakkan pendedahan media di Malaysia dan sebaliknya.
 
8. Untuk menggalakkan kelab-kelab Liga Super Malaysia, Liga Premier Malaysia dan J.League berkomunikasi dan menjalin kerjasama antara mereka.
 
9. Untuk menganjurkan klinik bola sepak dan seminar bagi kanak-kanak di Malaysia.
 
10. Untuk menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Malaysia
 
11. Untuk berkongsi kepakaran dalam usaha pencegahan rasuah dan aktiviti mengatur perlawanan.
J Category: 
article/press-release