PERLAWANAN ANTARABANGSA "A": MALAYSIA 2-2 MONGOLIA

2018-03-23

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan pasukan ranking ke-189 dunia, Mongolia dalam aksi Perlawanan Antarabangsa “A” di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Malaysia yang kini di ranking ke-178 dunia menghasilkan gol pertama perlawanan menerusi kapten pasukan Mongolia, Turbat Daginaa yang menanduk sepakan penjuru Safawi Rasid ke dalam gol sendiri pada minit ke-31. 

Bagaimanapun, pasukan Mongolia kendalian Michael Weiss berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-42 menerusi Enkhbileg Purevdorj.

Pada separuh masa yang kedua, kemasukan pemain muda, Akhyar Rashid membuah hasil apabila penyerang itu berjaya meledakkan gol kedua skuad Harimau Malaya pada minit ke-64.

Tetapi Mongolia sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui sepakan percuma pemain tengah mereka, Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv.

Malaysia terus mengasak benteng pertahanan Mongolia namun percubaan mereka dua kali terkena palang. Tandukan Fadhli Shas dari sepakan percuma Nazmi Faiz pada minit ke-77 terkena tiang gol terlebih dahulu sebelum sepakan percuma Wan Zack Haikal juga melantun terkena palang pada saat-saat akhir perlawanan.          

Seterusnya, Malaysia bakal bertandang ke Beirut untuk bertemu Lebanon bagi perlawanan keenam dan terakhir kumpulan kelayakan Piala Asia 2019 pada 27 Mac 2018.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan kembali beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan antarabangsa “A” menentang pasukan kebangsaan Nepal pada 1 April 2018. 

Malaysia: Haziq Nadzli (PG), Matthew Davies, Fadhli Shas, Adam Nor Azlin, Fazly Mazlan (Ariff Farhan 85’) , Afiq Fazail, Natxo Insa, Mahali Jasuli (Akhyar Rashid 45’), Safiq Rahim (K) (Nazmi Faiz 71’), Safawi Rasid (Wan Zack Haikal 71’), Ahmad Hazwan Bakri (Syafiq Ahmad 80’)

Mongolia: Munkh-Erdene Enkhtaivan (PG), Munkh-Orgil Orkhon, Turbat Daginaa (K), Sundorj Janchiv, Gabkhuyag Ser-Od-Yanjiv, Tugsbileg Batbold (Gal-Erdene Soyol-Erdene 60’), Oyunbaatar Otgonbayar, Enkhbileg Purevdorj (Tumenjargal Tsedenbal 87’), Davaajav Battur (Baljinnnyam Batbold 82’), Munkh-Erdene Tsagaantsooj, Tsedenbal Norjmoo

Pengadil: Muhammad Nazmi bin Nasaruddin (Malaysia)