PERLAWANAN ANTARABANGSA TIER 1: MALAYSIA 0-1 JORDAN

2019-08-31

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe tewas tipis 1-0 kepada pasukan ranking ke-99 dunia, Jordan pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia persiapan skuad Harimau Malaya yang kini di ranking ke-159 dunia bagi menghadapi dua aksi sulung Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Jakarta pada 5 September dan UAE di Bukit Jalil pada 10 September 2019.

Pada aksi malam tadi, Cheng Hoe mempertaruhkan tiga muka baharu bagi kem latihan pusat kali ini iaitu Brendan Gan, Hadin Azman dan Danial Amier Norhisham untuk membarisi kesebelasan utama yang diketuai penjaga gol, Farizal Marlias.

Namun gol tunggal jaringan ketua pasukan, Saeed Murjan pada minit ketujuh kekal sehingga wisel penamat untuk Jordan meraih kemenangan tipis biarpun Malaysia tampak lebih menguasai permainan dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan sepanjang separuh masa kedua.

Malaysia turun tanpa pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang digantung perlawanan serta tiga lagi pemain dalam senarai 27 pemain dipanggil untuk kem latihan pusat kali ini iaitu Faiz Nasir, Akhyar Rashid dan Jafri Firdaus Chew yang tidak diletakkan dalam kalangan 12 pemain di bangku simpanan.

Cheng Hoe dijangka mengumumkan senarai akhir 23 pemainnya, hari ini untuk dibawa ke Jakarta pada Selasa, 3 September 2019.

 

MALAYSIA: 1. Farizal Marlias (GK)(C); 2. Matthew Davies (4. Syahmi Safari 77'), 3. Shahrul Saad, 5. Adam Nor Azlin, 7. La'Vere Corbin-Ong; 6. Brendan Gan (12. Akram Mahinan 77'), 8. Nor Azam Abdul Azih; 11. Safawi Rasid (15. J Partiban 61'), 27. Danial Amier Norhisham (20. Syafiq Ahmad 46'), 16. Hadin Azman (10. Shahrel Fikri Md Fauzi 72'); 9. Norshahrul Idlan Talaha (24. Ahmad Hazwan Bakri 61').

JORDAN: 1. Yazid Abu Layla (GK); 15. Bara' Marei, 3. Tareq Khattab, 17. Mohammad Bani Attiah, 23. Yousef Abu Al-Jazar; 16. Saleh Rateb (11. Yaseen Al-Bakhit 59'), 13. Khalil Bani Attiah (10. Ahmed Samir 76'), 6. Saeed Murjan (C) (8. Nour Al-Rawabdeh 69'); 7. Yousef Al-Rawashdeh, 14. Ahmad Ersan (18. Hassan Al-Zahrawi 88'), 9. Mohammad Al-Zubi (20. Hamza Al-Dardour 60').

Pengadil: Nazmi Nasaruddin