Persahabatan antarabangsa A: Malaysia 3 Laos 1

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama untuk tahun 2015 selepas menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa A di Stadium Thupatemi Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand, petang semalam.
 
 Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Malaysia memperoleh dua jaringan dalam tempoh tiga minit pada awal separuh masa kedua menerusi Christie Jayaseelan pada minit ke-50 dan Azammuddin Akil, minit ke-53.
 
 Laos berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi sepakan penalti Sitthideth Khanthavong pada minit ke-82.
 
 Safee Sali terlepas peluang untuk menambah jaringan buat skuad Harimau Malaya apabila sepakan penalti diambilnya pada minit ke-91 sedikit tersasar ke sebelah kanan.
 
 Namun Malaysia berjaya juga memperoleh gol ketiga pada minit ke-92 menerusi jaringan kedua peribadi Christie untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1.
 
 Perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee berdepan Timor Leste di Dili, 13 Oktober ini untuk perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
 
 Skuad Harimau Malaya akan berlepas pulang dari Bangkok ke Kuala Lumpur, petang ini sebelum meneruskan perjalanan ke Dili, malam ini dengan disertai pemain pertahanan Pahang, Razman Roslan yang dipanggil menggantikan pemain pertahanan JDT, Fadhli Shas yang cedera pada perlawanan, petang semalam.
 
MALAYSIA: 1-Khairul Azhan Khalid (23-Izham Tarmizi Roslan 45'), 2-Matthew Davies (16-S Kunanlan 61'), 7-Aidil Zafuan Radzak, 4-Fadhli Shas (11-Shahrul Saad 10'), 21-Zubir Azmi (14-Nazirul Naim Che Hashim 61'), 15-Christie Jayaseelan, 13-Baddrol Bakhtiar, 8-Safiq Rahim (KP) (6-Ismail Faruqi Ashari 61'), 19-Azammuddin Akil (12-Ahmad Hazwan Bakri 77'), 17-Amri Yahyah, 10-Safee Sali.
 
Simpanan tidak digunakan: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 5-Nasir Basharudin, 20-Hafiz Kamal, 3-Amirizdwan Taj Tajuddin, 18-Wan Zack Haikal Wan Nor, 9-Adam Nor Azlin.
 
 
Berikut komen Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan, petang semalam:
 
"Ia satu kemenangan yang baik memandangkan kita belum memenangi sebarang perlawanan pada tahun ini. Saya harap kemenangan ini dapat memberi keyakinan kepada pemain untuk bertemu Timor Leste.
 
 "Memang sebahagian tempoh permainan tadi tidak begitu mengikut apa yang kami mahukan kerana keadaan padang sedikit berat (basah). Tapi pemain tetap berusaha keras dan akhirnya kita mendapat keputusan yang baik.
 
 "Sebelum perlawanan, saya sudah beritahu pemain yang kita tidak boleh terburu-buru dan saya tahu tekanan dirasai para pemain selepas kita belum memenangi sebarang perlawanan sepanjang tahun ini dan tidak menjaringkan lebih dua atau tiga gol dalam satu perlawanan.
 
 "Selepas tamat separuh masa pertama, saya hanya beritahu pemain yang kita perlu mendapatkan lebih hantaran-hantaran ke depan terutama menggunakan bahagian kiri dan kanan pertahanan Laos dan itu berhasil kerana apabila kita banyak menggerakkan bola ke depan, peluang akan datang.
 
 "Christie menjaringkan dua gol pada perlawanan ini dan ia satu petanda baik kerana sudah lama kita tidak dapat menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan.
 
 "Apabila berjaya dilakukan, ia beri satu keyakinan terutama kepada Christie yang membuktikan dia bukan saya boleh beraksi sebagai sayap kanan yang memikirkan corak serangan tetapi turut boleh membantu apabila kita bertahan.
 
 "Dua gol ini membuktikan Christie memiliki kualiti untuk beraksi di peringkat tinggi.
 
 "Kegagalan Safee menyempurnakan sepakan penalti, ini berlaku kepada sesiapa pun. Safee kurang bernasib baik kali ini dan sudah tentu setiap pemain yang mengambil sepakan penalti akan merasai tekanan.
 
 "Mungkin ini bukan hari Safee tetapi sumbangannya sepanjang 90 minit permainan amat baik dan ini memberi ruang kepada pemain lain untuk melakukan serangan-serangan yang lebih tajam."
 
J Category: 
uncategorised7