PERSAHABATAN: FIJI 1-1 MALAYSIA

2016-06-26 

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mencatat keputusan seri 1-1 dengan Fiji pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" terakhir dalam siri Jelajah Oceania 2016 di Prince Charles Park, Nadi, Fiji, petang tadi.

 Biarpun skuad Harimau Malaysia berjaya mendahului menerusi penyudah kemas Amri Yahyah hasil hantaran S Chanthuru pada minit ke-41, Fiji kendalian Frank Farina berjaya juga menyamakan kedudukan menerusi rembatan Roy Krishna pada minit ke-72.

 Skuad Harimau Malaysia yang kini di ranking ke-173 dunia menamatkan Jelajah Oceania 2016 dengan sekali menang, sekali seri dan sekali tewas selepas tewas 2-0 kepada Papua New Guinea (ranking 193) pada 17 Jun, menang 2-1 ke atas New Caledonia (ranking 183) pada 22 Jun dan seri 1-1 dengan Fiji (ranking 186).

 

FIJI: 22-Beniamino Mateinaqara, 11-Ilimotama Jese, 21-Alvin Singh, 16-Iliatia Tuilau, 3-Meli Codro, 13-Anish Khem (17-Kolinio Sivoki 46'), 23-Samuela Kautoga (15-Napolioni Qasevakatini 68'), 12-Tevita Waranivalu, 5-Tony Tuivuna (10-Savenaca Nakalevu 46'), 8-Setareki Hughes (7-Samuela Nabenia 68'), 9-Roy Krishna (C).

MALAYSIA: 22-Khairul Fahmi Che Mat, 16-S Kunanlan, 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (C), 4-Fadhli Shas, 6-Fazly Mazlan, 18-S Chanthuru, 3-Brendan Gan, 15-Junior Eldstal (11-Baddrol Bakhtiar 79'), 19-Christie Jayaseelan (14-Ahmad Fakri Saarani 73'), 21-Amirulhadi Zainal (12-Ahmad Hazwan Bakri 46'), 17-Amri Yahyah (10-S Kumaahran 60').

Pengadil: George Time (Kepulauan Solomon)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Satu keadaan yang sukar untuk bermain tetapi para pemain membuktikan mereka mampu untuk mengadaptasikan suasana perlawanan terutama dengan keadaan cuaca yang panas dan padang yang kurang baik.

 "Kita gagal mempertahankan gol pendahuluan di mana beberapa faktor perlu kita lihat. Tapi saya percaya semua pemain sudah memberikan yang terbaik dalam keadaan sukar ini.

 "Dalam bola sepak memang begini, apabila kita gagal menyempurnakan peluang-peluang terhidang tetapi pasukan lawan mengambil kesempatan terutama Roy Krishna yang beraksi di A-League yang mempunyai teknik cukup bagus, apabila kita beri ruang, mereka dapat menjaringkan gol.

 "Tentang mutu pengadilan, kita kena faham, apabila bermain di tempat lawan terutama berdepan pasukan tuan rumah, ini yang akan berlaku. Kita harus belajar, bukan saja saya tetapi para pemain kena tahu jika bermain di tempat lawan, kita kena terima apa juga keputusan dan apa juga yang disediakan pihak lawan."