PERSAHABATAN: MACHIDA ZELVIA FC 3-3 MALAYSIA B-22

2016-06-20

Skuad Harimau Malaysia B-22 kendalian ketua jurulatih, Frank Bernhardt meraih keputusan seri 3-3 pada aksi persahabatan sulung menentang Machida Zelvia FC di Stadium Atletik Machida, Tokyo, pagi tadi.

Ryuto Otake terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-4 untuk meletakkan pasukan Liga Divisyen 2 Jepun itu di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-7 melalui penyerang, Arif Mohamed Anwar sebelum ketua pasukan, Faris Shah Mohd Rosli menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 untuk kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad anak buah Naoki Soma menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55 menerusi Kentaro Shigematsu. Penyerang berusia 19 tahun, Jafri Muhammad Firdaus Chew kemudiannya menjaringkan gol ketiga pasukan kebangsaan pada minit ke-79 sebelum pasukan tuan rumah sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi jaringan Yuya Nakamura pada minit ke-81.

Seterusnya, skuad B-22 negara bakal berdepan pasukan Liga Divisyen 1 Jepun, Shonan Bellmare di Kanagawa pada 22 Jun ini.

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD MALAYSIA B-22, FRANK BERNHARDT

“Machida Zelvia FC merupakan pasukan yang kuat dan mempunyai corak permainan yang pantas. Selepas permulaan permainan yang agak sukar, para pemain berjaya mempamerkan persembahan yang baik.

“Sayang sekali pasukan kita tidak berjaya mengekalkan kedudukan sekalipun mendahului 2-1 dan 3-2. Bagaimanapun, daripada kualiti pasukan lawan kita hari ini, bagi saya keputusan seri ini adalah keputusan yang baik.

“Pemain-pemain perlu bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki kekuatan fizikal masing-masing kerana apabila berdepan dengan pasukan seperti ini, ianya pasti akan menyukarkan keadaan buat kita.

“Perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan Liga Divisyen 1 Jepun, Shonan Bellmare. Kita perlu pastikan para pemain berjaya mengekalkan prestasi yang telah dipamerkan.”