PIALA BELIA: KEDAH, FELDA UNITED KEKAL DI PUNCAK

2016-04-11

Kedah dan Felda United meneruskan kecemerlangan dengan meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing untuk kekal di tangga teratas Kumpulan A dan B selepas perlawanan keenam Piala Belia 2016, petang semalam.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah yang dibimbing jurulatih Roshidi Shaari meraih kemenangan kelima musim ini selepas berjaya menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Mini Jitra untuk kini mengumpul 16 mata dan kekal tanpa kalah.

 Sabah melonjak empat anak tangga ke kedudukan kedua dengan 12 mata selepas skuad kendalian Jelius Ating itu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

 Juara bertahan, Selangor di bawah bimbingan Noor Zaidi Rohmat pula kekal di tangga ketiga selepas mengikat Perak 1-1 di Stadium Mini SMK Gunung Rapat, Ipoh untuk kini dengan 11 mata.

 Pahang yang menghuni tangga kedua minggu lalu turun ke kedudukan keempat selepas tewas 2-0 kepada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian Khalid Shahdan di Gambang.

 Perlis pula terus buntu meraih mata sulung musim ini selepas mencatat kekalahan keenam berturut-turut, kali ini tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan di Stadium Mini UiTM Perlis, Arau.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian terus garang apabila turut berjaya meraih kemenangan kelima dengan menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Mini UPM, Serdang untuk meraih 16 mata tanpa sebarang kekalahan.

 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 naik satu anak tangga ke kedudukan kedua selepas menewaskan penghuni tangga kedua sebelum ini, Kelantan 3-2 di MSN Bukit Jalil untuk mengumpul 13 mata manakala Kelantan kendalian Tengku Hazman Raja Hassan turun ke tangga kelima dengan 11 mata.

 SSMP B-16 bimbingan P Somasundram turut naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas pasukan tercorot, ATM di Padang Kem Terendak, Melaka untuk kini mengumpul 13 mata.

 Kuala Lumpur juga naik satu kedudukan ke tangga keempat dengan berkongsi 13 mata sama seperti SSBJ B-17 dan SSMP B-16 selepas berjaya menewaskan Melaka 1-0 di Stadium Hang Tuah.

 Johor Darul Ta'zim IV pula kekal di tangga keenam dengan sembilan mata selepas berjaya menewaskan pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA 2-1 di Stadium Mini UTM, Skudai.

 Perlawanan ketujuh akan berlangsung pada Ahad, 17 April 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SSMP (B-17) 2

Mohamad Luqman Abdullah 56'

Muhammad Fikhri Zulkiflee 70'

PAHANG 0

 

PERLIS 1

Muhammad Noor Arif Mistar 13'

NEGERI SEMBILAN 2

Khairul Anuar Yusri Lani 82'

Mohamad Alif Alfian Idris 90+3'

 

PERAK 1

Abdul Razak Mastor 31'

SELANGOR 1

Muhammad Amirul Haziq Rasmizal 47'

 

SARAWAK 0

SABAH 1

Jeniun Karib 90+1'

 

KEDAH 2

Muhammad Suhaimie Saad 47'

Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam 79'

PULAU PINANG 0

 

KUMPULAN B

 

SSBJ (B-17) 3

Nik Akif Syahiran Nik Mat 3' 31'

Muhammad Zafuan Azeman 75'

KELANTAN 2

Wan Alif Aiman Rosmaidi (p) 10'

Afiq Saluddin 45+1'

 

ATM 1

Mohamad Najmuddin Mohd Yamin 54'

SSMP (B-16) 4

Muhammad Alif Safwan Sallahuddin 36' 71'

Muhammad Nizarruddin Jazi 38'

Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau 84'

 

FELDA UNITED 2

Amirul Adam Saarani 34'

Ahmad Zulhilmi Januaal 74'

TERENGGANU 0

 

MELAKA 0

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Alif Aiman Mohd Rashid 75'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 2

Azrul Azuan Ali 44' 64'

MISC-MIFA 1

M Kavishkumar 55'