PIALA BELIA: KEDAH, FELDA UNITED KEKAL REKOD TANPA KALAH

2016-04-21

Kedah dan Felda United meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan kelapan Piala Belia 2016, petang semalam untuk kedua-dua pasukan itu kekal tanpa kalah setakat ini.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah yang dibimbing Roshidi Shaari berjaya mencuri tiga mata penuh dari gelanggang lawan selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

 Kemenangan itu membolehkan Kedah kini mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan, sekali seri dan belum tewas untuk perbezaan empat mata dengan pasukan tangga kedua, Sabah yang turut meraih tiga mata penuh selepas skuad kendalian Jelius Ating itu garang membelasah pasukan tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Mini UiTM Arau.

 Juara bertahan, Selangor bimbingan Noor Zaidi Rohmat yang kurang satu perlawanan pula berjaya memintas Pahang di tangga ketiga selepas mudah menundukkan pasukan lawan itu 3-0 di Padang Majlis Daerah Pekan.

 Perak turut berjaya memintas kedudukan Pulau Pinang di tangga kelima selepas menang tipis 1-0 ke atas lawan berkenaan di Stadium Mini SMK Gunung Rapat, Ipoh manakala satu lagi perlawanan berkesudahan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 dan Negeri Sembilan seri 0-0 di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Felda United di bawah bimbingan Ahmad Shahrul Azhar Sofian berjaya meraih kemenangan ketujuh selepas menewaskan pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA 2-0 di Stadium Mini UPM, Serdang untuk kini mengumpul 22 mata.

 SSMP B-16 kendalian P Somasundram berjaya memintas kedudukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 selepas bangkit pada babak kedua untuk menewaskan skuad kendalian jurulatih sementara Haris Lajid itu 2-1 di Padang D, MSN Bukit Jalil untuk meraih 19 mata berbanding SSBJ B-17 yang kekal 16 mata.

 Kuala Lumpur pula kekal di tangga keempat tetapi sudah menyamai 16 mata dengan SSBJ B-17 selepas skuad kendalian Zolkifli Samion itu mudah menewaskan pasukan tercorot, ATM 4-0 di Padang Kem Terendak, Melaka.

 Kelantan kekal di tangga kelima selepas menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu manakala Johor Darul Ta'zim IV kekal di tangga keenam selepas menundukkan Melaka 1-0 di Stadium Hang Tuah.

 Perlawanan kesembilan dan terakhir untuk pusingan pertama akan berlangsung pada Ahad ini, 24 April 2016 manakala perlawanan Selangor bertemu Perlis yang dipinda sebelum ini akan berlangsung di Padang SUK, Shah Alam pada Rabu, 27 April 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SSMP (B-17) 0

NEGERI SEMBILAN 0

 

PAHANG 0

SELANGOR 3

Muhammad Fazrul Fahriz Zeky 25'

M Tamil Maran 71'

Abdul Suhairil Idham Zahari (gs) 82'

 

PERLIS 1

Muhammad Aminnur Hayyum Harun 44'

SABAH 7

Mohd Aidil Shahrolmizan Asimin 40'

Ariusdius Jais 42'

Hamran Peter 45' 45+5' 71'

Leonardo Lisua 74'

Mohd Suzairee Samail 78'

 

PERAK 1

Ahmad Syahmi Ahmad Bakhtiar 13'

PULAU PINANG 0

 

SARAWAK 0

KEDAH 1

Mohammad Ikhmal Ahmad 39'

 

KUMPULAN B

 

SSBJ (B-17) 1

Muhammad Syaiful Alias 13'

SSMP (B-16) 2

Mohamad Khussaini Adli Mohd Yusof 72' 78'

 

KELANTAN 1

Muhamad Hafiezal Che Normizi 82'

TERENGGANU 0

 

ATM 0

KUALA LUMPUR 4

P Raaj Baarathy 13' 54' 74'

Muhammad Hafizuddin Bustaman 31'

 

FELDA UNITED 2

Amirul Adam Saarani 22'

Saifuddin Khairil Anuar 63'

MISC-MIFA 0

 

MELAKA 0

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 1

Ahmad Ikhwan Hafiz 40'