PIALA FAM 2017: UKM FC, SIME DARBY FC MULAKAN KEMPEN DENGAN BERGAYA

2017-02-20

UKM FC dan Sime Darby FC memulakan kempen saingan liga divisyen tiga kebangsaan, Piala FAM 2017 dengan bergaya apabila melakar kemenangan 4-0 ke atas lawan masing-masing pada aksi pembuka tirai, semalam.

 Bagi Kumpulan A, UKM FC kendalian Sulaiman Hussin mencatat kemenangan besar ke atas pasukan yang layak ke suku akhir musim lalu,  Kelab Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) pada aksi yang berlangsung sebelah petang di Stadium Mini UKM, Bangi untuk meneraju carta.

 Di Padang Astaka Kuala Berang, MPKB-BRI UBES FC bimbingan Kamaruddin Muhammad meraih kemenangan 3-0 menentang Hanelang FC untuk menduduki tangga kedua.

 Shahzan Muda FC kendalian Tajuddin Nor pula menduduki tangga ketiga setelah mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas pasukan baharu, Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.

 MOF FC yang kini dibimbing oleh S Balachandran mencipta kejutan setelah menumpaskan Felcra FC 2-1 di gelanggang lawan, Stadium Arena UM, Kuala Lumpur untuk menduduki tangga keempat.

 Bagi saingan Kumpulan B, Sime Darby FC bimbingan bekas jurulatih Pahang dan Terengganu, Ahmad Yusoff membelasah pasukan tuan rumah, Penjara FC 4-0 di Stadium Mini Kompleks Penjara Kajang untuk menduduki tangga teratas liga.

 Pasukan baharu, Kuching FA kendalian Mohammad Mantali turut memulakan kempen dengan langkah  kanan setelah menewaskan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) FC 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

 Pada satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, Melaka, SAMB FC dan Terengganu City FC pula terpaksa akur berkongsi mata setelah terikat 1-1.

 Seterusnya, perlawanan kedua Piala FAM akan berlangsung pada Ahad ini (26 Februari 2017).

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM:

 

KUMPULAN A

 

HANELANG FC 0

MPKB-BRI-UBES FC 3

Mohd Masri Asyraf 29’ 59’

Mohd Ruziman Zakaria 56’

 

UKM FC 4

Muhammad Nurzaidi 22’ 63’

Muhammad Hasrul Murkholis 28’

Helmi Hariri Ibrahim 36’

KDMM FC 0

 

SHAHZAN MUDA FC 2

Mohd Shahrizan Salleh 46’

Mohd Rifaei Awang Long 90’+1

KSDBKL 0

 

FELCRA FC 1

Mohammad Hafizi Mat Podzi 41’

MOF FC 2

Aikal Aiman Azlan 11’

Rudie Ramli 17’

 

KUMPULAN B

 

KUCHING FA 2

Sufizal Ismail 32’ 41’

PBMS FC 1

Yusaini Hafiz Chee Saad 76’

 

PENJARA FC 0

SIME DARBY FC 4

Dzulfahmi Hadi 15’ 31’

Che Mohamad Arif 56’

Zul Fahmi Awang 76’

 

SAMB FC 1

Shakir Samad 90’

TERENGGANU CITY FC 1

Haris Safwan 47’