PIALA FAM: FELCRA FC DIHIMPIT MISC-MIFA, PKNP FC PERTAMA KE SUKU AKHIR

2016-05-22

Felcra FC terus kekal di tangga teratas Kumpulan A meskipun sekadar seri dengan DYS FC tatkala Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) mengekalkan penguasaan dalam saingan Kumpulan B setelah menundukkan Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC).

Pendahulu Kumpulan A, Felcra FC gagal mengutip tiga mata penuh bagi minggu kedua berturut setelah hanya mampu seri 1-1 dengan DYS FC di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur. Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah kekal selaku pendahulu dengan 27 mata daripada 12 perlawanan.

Pencabar terdekat di tangga kedua dengan 26 mata, MISC-MIFA bimbingan Jacob Joseph pula terus mengekori rapat selepas menumpaskan Penjara FC 3-1 di Stadium Mini USIM, Nilai, Negeri Sembilan.

Di Stadium Mini Manjung, Perak, Sungai Ara FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Persatuan Bolasepak Ipoh untuk terus memberi saingan di tangga ketiga dengan mengumpul 22 mata.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A, Shahzan Muda FC pula kekal di tangga kelima dengan 18 mata selepas membelasah Megah Murni FC 4-1 di Kompleks Sukan BSN, Bangi.  

Sementara itu, saingan Kumpulan B menyaksikan PKNP FC kendalian Abu Bakar Fadzim terus mengukuhkan cengkaman di persada liga dengan 24 mata daripada 10 perlawanan setelah menewaskan KDMM FC 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Di Stadium INSPEN, Bangi, Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas MPKB-BRI UBES FC untuk terus memberi tentangan di tangga kedua dengan 20 mata.

Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) pula berjaya mengutip tiga mata berharga apabila menumpaskan pasukan tuan rumah, UKM FC 3-2 di Stadium Mini UKM, Bangi untuk kekal menghuni tangga ketiga dengan 18 mata.

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia dan Hanelang FC masing-masing naik satu anak tangga ke tangga kelima dan keenam setelah terikat 1-1 di Padang Astaka Kuala Berang, Terengganu.

Saingan Piala FAM 2016 akan berehat selama dua bulan dan perlawanan keempat belas akan disambung semula pada Ahad, 7 Ogos 2016.

FOTO KREDIT: MISC-MIFA

 

KEPUTUSAN PENUH

KUMPULAN A

 

FELCRA FC 1

Shahrizal Mohd Saad 82’

DYS FC 1

Alan Doliente 89’

 

MISC-MIFA 3

S Silambarasan 11’

G Thipen Raj 73’ (p)

M Youwarasan 90+1’

PENJARA FC 1

Mohd Akmal Chin 39’

 

PB IPOH 0

SG ARA FC 1

Khairzul Azri Jama Abd Hazqi 35’

 

MEGAH MURNI FC 1

Nur Adli Effandi Mohd Pauzee 6’

SHAHZAN MUDA FC 4

Muhamad Baqiuddin Shamsudin 12’

Mohd Aizuddin Che Aziz 36’

Muhamad Razren Mohd Jesni 53’ 67’

 

 

KUMPULAN B

 

MOF FC 5

Mohd Nizad Ayub 13’ 68’ 81’

Rudie Ramli 25’ 55’

MPKB-BRI UBES FC 0

 

PKNP FC 2

Hamizul Izaidi Zulkifli 10’

G Mugenthirran 19’

KDMM FC 1 

Yazili Yunat 31’

 

 

HANELANG FC 1

Mohd Hasrolsyawal Hamid 47’

PB MELAYU MALAYSIA 1

Muhamad Hazim Mohamad 32’

 

UKM FC 2

Muhammad Azri Zulkiflee 14’

Gusti Ishak Fitri Shah Said 67’

SAMB FC 3

Ahmad Khusaini Piee 1’

Shakir Samad 54’

Mohamad Fakrullah Rosli 57’