PIALA FAM: FELCRA PERKUKUH CENGKAMAN DI PERSADA KUMPULAN A

2016-05-02

Felcra FC mengukuhkan kedudukan di persada Kumpulan A saingan Piala FAM 2016 setelah bangkit dari ketinggalan 0-2 pada babak pertama untuk menumpaskan Persatuan Bolasepak Ipoh 3-2 di Stadium Mini Manjung, Perak semalam.

Muhd Azwan Jatin dan bekas penyerang kebangsaan, R Surendran masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-25 dan ke-35 bagi membolehkan skuad bimbingan A Pugelenthi mendahului pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, percaturan Yusri Che Lah nyata membuahkan hasil apabila Felcra FC berjaya bangkit untuk menjaringkan tiga gol pada babak kedua menerusi Muhd Hafizi Mat Podzi (m-45+2), jaringan penalti Mohd Shahrulnizam Mustapha (m-59) dan Wan Zulhilmi Wan Mustaffa (m-90+2).

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, Shahzan Muda FC kendalian Tajuddin Nor berjaya meraih kemenangan selesa ke atas DYS FC 3-0 untuk melonjak ke tangga keempat dengan 14 mata.

Penyerang berusia 26 tahun, Muhd Aizuddin Che Aziz muncul wira apabila meledak dua gol dalam masa tiga minit (m-69 & m-72) setelah Mohd Firdaus Anuar meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-51.

Sementara itu, Megah Murni FC naik satu anak tangga ke tangga ke-8 setelah seri 1-1 Airasia Allstars FC di Kompleks Sukan BSN, Bangi. Mohd Badrul Hisyam Azmi menjaringkan gol pendahuluan untuk skuad bimbingan R Nallathamby pada minit ke-16 sebelum Muhd Zamri Hassan menjaringkan gol penyamaan lima minit sebelum tamat perlawanan.

 

KEPUTUSAN PENUH (1 MEI 2016)

 

PERSATUAN BOLASEPAK IPOH 2

Muhd Azwan Jatin 25’

R Surendran 35’

FELCRA FC 3

Muhd Hafizi Mat Podzi 45’+2

Shahrulnizam Mustapha 59’ (p)

Wan Zulhilmi Wan Mustaffa 90’+2

 

SHAHZAN MUDA FC 3

Mohd Firdaus Anuar 51’

Muhd Aizuddin Che Aziz 69’ 72’

DYS FC 0

 

MEGAH MURNI FC 1

Mohd Badrul Hisyam Azmi 16’

AIRASIA ALLSTARS FC 1

Muhd Zamri Hassan 85’