PIALA FAM: KDMM FC IRINGI SAMB FC, MOF FC & PKNP FC KE SUKU AKHIR

2016-08-14

Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC) muncul pasukan terbaharu untuk layak ke suku akhir saingan Piala FAM 2016, semalam.

Penampilan sulung skuad kendalian Andrew Majanggim di pentas liga divisyen 3 kebangsaan musim ini membuahkan hasil apabila berjaya melengkapkan slot suku akhir bagi Kumpulan B setelah mengumpul 19 mata dan tidak mampu lagi dipintas oleh pasukan tangga kelima, UKM FC.

UKM FC yang memerlukan tiga mata penuh untuk mempunyai peluang layak ke suku akhir, terpaksa akur berkongsi mata setelah terikat seri 1-1 menentang Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia pada aksi yang berlangsung di Stadium Mini UKM, Bangi, semalam.

Dalam pada itu, pertembungan antara dua pasukan teratas Kumpulan B menyaksikan Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) meraih kemenangan 1-0 ke atas pendahulu, Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium INSPEN, Bangi.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B, Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) menumpaskan pasukan tercorot, MPKB-BRI UBES FC 3-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Berbaki satu lagi perlawanan, PKNP FC yang merupakan pasukan terawal untuk layak ke suku akhir pada 22 Mei lalu kekal di tangga teratas dengan 27 mata diikuti MOF FC 26 mata, SAMB FC 24 mata dan KDMM FC 19 mata.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan A, pendahulu, MISC-MIFA kendalian Jacob Jospeh berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas pasukan tangga ketujuh, Megah Murni FC di Kompleks Sukan BSN, Bangi tatkala pasukan tangga kedua, Felcra FC tewas untuk minggu ketiga berturut setelah tumpas 2-0 kepada Shahzan Muda FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.

Dua lagi perlawanan menyaksikan keempat-empat pasukan berkongsi mata; AirAsia Allstars FC diikat Sungai Ara FC 0-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang manakala Penjara FC seri 0-0 dengan DYS FC di Stadium Mini Tampin, Negeri Sembilan.

Berbaki satu perlawanan, MISC-MIFA dan Felcra FC yang telah layak ke suku akhir pada 11 Ogos lalu masing-masing berada di tangga teratas dengan 33 mata dan kedua dengan 30 mata, diikuti AirAsia Allstars FC 27 mata, Sungai Ara FC 26 mata dan Shahzan Muda FC 25 mata.

Aksi terakhir peringkat kumpulan pada Ahad ini (21 Ogos) akan menyaksikan tiga pasukan; AirAsia Allstars FC, Sungai Ara FC dan Shahzan Muda FC berebut memburu dua slot suku akhir Kumpulan A untuk mengiringi MISC-MIFA dan Felcra FC ke pusingan kalah mati.

FOTO KREDIT: KDMM FC

 

KEPUTUSAN PENUH

KUMPULAN A

 

SG ARA FC 0

AIRASIA ALLSTARS FC 0

 

MEGAH MURNI FC 0

MISC-MIFA 1

M Yoges 29’

 

SHAHZAN MUDA FC 2

Mohd Aizuddin Che Aziz 10’ 27’

FELCRA FC 0

 

PENJARA FC 0

DYS FC 0

 

KUMPULAN B

 

PB MELAYU MALAYSIA 1

Muhamad Ammar Akmal Haili 71’

UKM FC 1

Gusti Ishak Fitri Shah Said 65’

 

MOF FC 1

Wan Azwari Wan Nor 33’

PKNP FC 0

 

SAMB FC 3

Mohd Yusri Abas 15’

Ahmad Shahir Ismail 55’

P Haresh 60’

MPKB-BRI-UBES FC 1

Mohd Amri Fazal Mat Nor 24’