PIALA FAM: MISC-MIFA RAIH KEMENANGAN KE ATAS PKNP FC

2016-10-21

Pasukan Majlis Sukan India Malaysia - Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) meraih kemenangan 1-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada perlawanan akhir pertama saingan Piala FAM 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, MISC-MIFA kendalian Jacob Joseph dihadiahkan sepakan penalti apabila Muhamad Mazni Khairul Hasnan menjatuhkan G Thipen Raj pada minit ke-89.

Penyerang berusia 20 tahun itu kemudiannya tenang menyudahkan sepakan tersebut untuk memberikan pasukan tuan rumah kelebihan satu gol bagi aksi final kedua di Stadium Perak, Ipoh pada 27 Oktober ini.

KOMEN KETUA JURULATIH MISC-MIFA, JACOB JOSEPH

“Kita mendahului 1-0 tetapi kita masih ada tempoh 90 minit lagi dan kita akan bermain di tempat lawan. Kita juga dapat lihat pada perlawanan malam ini bahawa PKNP FC adalah pasukan yang mantap dengan barisan tengah dan serangan yang baik.

“Apa yang saya boleh katakan ialah barisan tengah saya tidak menjalankan tugas dan hal ini memudahkan penyerang PKNP FC untuk menembusi pertahanan kita. Pada perlawanan kedua nanti, mungkin saya akan gunakan taktik bertahan untuk pastikan kita tidak bolos.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan tetapi beberapa orang pemain tidak mencapai tahap saya harapkan.”

KOMEN KETUA JURULATIH PKNP FC, ABU BAKAR FADZIM

“Saya akui pemain-pemain telah bermain sebaik mungkin pada perlawanan malam ini cuma kita tidak berjaya mengelak kesilapan daripada berlaku dan kita telah dihukum dengan sepakan penalti. Saya lihat kita juga mempunyai banyak peluang tetapi agak gugup  mungkin kerana faktor pertama kali beraksi di peringkat akhir.

“Bagaimanapun, kita masih ada 90 minit lagi di Ipoh dan saya yakin para pemain akan buat lebih baik lagi pada aksi kedua nanti. Ya, saya juga tidak dapat nafikan kehilangan ketua pasukan, Mohd Fazli Zullkifly serta Mohamad Ibni Khozaimi kita rasai dan sedikit sebanyak merencatkan rentak pasukan. Namun dengan kehadiran mereka, misi kita pada pusingan kedua insyaAllah untuk menang.”