SIARAN MEDIA: FAM - TM JALIN SEMULA KERJASAMA STRATEGIK SEBAGAI RAKAN RASMI TEKNOLOGI

2023-06-09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan jalinan kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) di mana syarikat telekomunikasi terkemuka negara itu menjadi Rakan Rasmi Teknologi bagi FAM dan pasukan kebangsaan, Harimau Malaya untuk tempoh setahun bermula Jun 2023 ini.

Perjanjian itu juga menjadi bukti komitmen tinggi TM terhadap pembangunan sukan bola sepak negara di mana syarikat tersebut telah terlibat secara langsung dalam industri bola sepak tempatan sepanjang dua dekad yang lalu.

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama yang kembali terjalin bersama TM selepas kali terakhir berkolaborasi pada tahun 2020 membuktikan hubungan baik FAM bersama syarikat telekomunikasi itu sentiasa dipelihara.

"Sudah pasti FAM berasa gembira dan berbesar hati dengan jalinan semula kerjasama bersama TM yang tentunya akan membawa manfaat besar kepada perancangan dan pembangunan skuad bola sepak kebangsaan,

"Saya optimis bahawa hubungan strategik antara FAM dan TM ini dapat mencapai hasil penajaan yang menggalakkan selain memberi peluang TM membawakan produk mereka untuk dinikmati oleh jutaan peminat bola sepak di negara ini melalui pelbagai program promosi yang akan kita aktifkan dalam masa terdekat. 

“Mewakili seluruh warga kerja FAM, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TM dan berharap menerusi kerjasama ini, arena bola sepak negara akan bergerak ke arah kecemerlangan,” kata Datuk Haji Hamidin. 

Majlis menandatangani perjanjian antara FAM dan TM itu telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi di mana FAM diwakili oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman sementara TM telah diwakili oleh Naib Presiden, Jenama dan Pemasaran, En Andrew Pinto. Majlis tersebut telah disaksikan oleh Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Dato’ Sri Shahril Mokhtar bersama-sama Puan Shanti Jusnita Johari, Ketua Pegawai Pemasaran, TM.

Turut hadir adalah kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram dan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, ACP (B) Md Wahid serta barisan pengurusan kanan Kumpulan TM.

Sementara itu, Puan Shanti turut menzahirkan penghargaan kepada pihak FAM atas kolaborasi ini yang membolehkan TM meneruskan peranannya dalam memajukan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negara yang mempunyai jutaan peminat tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang.

“TM menerajui evolusi teknologi telekomunikasi negara sejak sekian lama ke arah membina Digital Malaysia menerusi teknologi yang memperkasa komuniti, perniagaan dan Kerajaan. Kini, TM telah menjalani transformasi ke arah menjadi sebuah Syarikat Teknologi Berteraskan Insan, ataupun, ‘a Human-Centred Technology Company’. Peralihan ini akan turut diterapkan dalam jalinan kerjasama antara TM dan FAM ini, dengan membawakan pengalaman baharu kepada para penyokong pasukan kebangsaan melalui teknologi digital serta perkhidmatan komunikasi dan kandungan,” kata beliau.

“Kami amat berbesar hati dapat memberikan sokongan kepada sukan bola sepak kerana ianya mampu menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu bendera. Diharapkan kolaborasi ini dapat mencetuskan minat dan sokongan yang lebih jitu daripada para peminat, seterusnya memberi suntikan semangat untuk pasukan bola sepak kebangsaan. Semoga kerjasama antara kedua-dua pihak bakal mengangkat martabat sukan bola sepak kita dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” akhiri Puan Shanti.

 

*Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 9 Jun 2023