SIARAN MEDIA: FAM UMUM PELANTIKAN RAKPHOL SAINETNGAM SEBAGAI KETUA JURULATIH FUTSAL HARIMAU MALAYA YANG BAHARU

2023-08-07

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan Rakphol Sainetngam dari Thailand sebagai ketua jurulatih baharu skuad futsal kebangsaan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Chiew Chun Yong.

Rakphol, 44, merupakan ketua jurulatih Black Steel FC Papua yang membawa kelab itu menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di Korat, Thailand pada Mei lalu dan seterusnya berjaya meraih tempat ketiga Liga Futsal Profesional Indonesia 2022/23.

Sebelum berhijrah ke Indonesia pada penghujung 2019, Rakphol memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih futsal di Thailand, sama ada bersama skuad futsal lelaki dan wanita kebangsaan Thailand serta membimbing kelab Rattanabundit University (2009-2012) dan Chonburi Bluewave (2012-2019).

Di peringkat Liga Futsal Thailand, Rakphol berjaya membawa pasukan bimbingannya muncul juara pada 2010, 2011/12, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, selain turut menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFC 2017 bersama Chonburi Bluewave.

Ia sekali gus menobatkan Rakphol sebagai pemenang Jurulatih Terbaik Liga Futsal Thailand sebanyak tujuh kali di sepanjang 2010 hingga 2017.

Di peringkat pasukan kebangsaan pula, Rakphol membimbing Thailand selaku ketua jurulatih untuk menjuarai Sukan Universiti ASEAN 2010, tempat keempat Kejuaraan Futsal Universiti Dunia 2012 dan layak ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia Futsal 2021, selain beberapa lagi kejayaan selaku penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Rakphol turut membawa skuad futsal wanita kebangsaan Thailand meraih pingat emas Sukan SEA 2011, pingat emas Kejuaraan Universiti ASEAN 2010 dan 2015 serta tempat ketiga pada Kejuaraan Futsal AFC 2015.

Dengan pengalaman luas dan rekod-rekod kejayaan yang telah berjaya diraih Rakphol sebelum ini, FAM yakin kehadiran beliau mampu memperkasakan lagi skuad futsal Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan-kejohanan yang akan datang.

Untuk rekod, skuad futsal Harimau Malaya pernah dibimbing oleh tiga ketua jurulatih asing sebelum ini bermula dengan Vic Hermans (1996), Silvio Machado (2003-2006) dan Marcelo Serpa (2014-2017), selain barisan ketua jurulatih tempatan iaitu Abdul Rahman Ibrahim, Bahwandi Hiralal, P. Balakrishnan, Maizal Hairi Marzuki dan Chun Yong.

Sebagai permulaan, skuad futsal Harimau Malaya akan berkumpul untuk kem latihan pusat pertama di bawah bimbingan Rakphol bermula 10 September depan bagi persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang akan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

Malaysia telah diundi dalam saingan Kumpulan G di Uzbekistan dan akan memulakan kempen bertemu Iraq pada 7 Oktober, Uzbekistan pada 9 Oktober dan Kemboja pada 11 Oktober 2023 bagi memburu slot 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir iaitu 8 juara kumpulan saingan kelayakan, tujuh pasukan tempat kedua terbaik dan tuan rumah.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Isnin, 7 Ogos 2023