SIARAN MEDIA: JUALAN TIKET PESTABOLA MERDEKA 2023 EDISI KE-42 BERMULA 9 OGOS

2023-08-05

Sepertimana yang telah dimaklumkan pada siaran media dan sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 6 Jun lalu, penjualan tiket Pestabola Merdeka 2023 Edisi Ke-42 sepatutnya bermula pada Selasa lalu (1 Ogos 2023).

Namun berdasarkan perkembangan terbaharu yang mana majlis undian Pestabola Merdeka 2023 dijadual berlangsung 8 Ogos ini, maka tarikh baharu bagi penjualan tiket tersebut telah diubah iaitu akan bermula pada Rabu, 9 Ogos 2023 di www.tickethotline.com.my.

Pestabola Merdeka 2023 yang disertai empat pasukan dengan format secara kalah mati itu akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober 2023 (dua perlawanan) dan Selasa, 17 Oktober 2023 (penentuan tempat ketiga & final) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

FAM bagaimanapun memperkenalkan Tiket Kombo RM70 yang mana penyokong Harimau Malaya berpeluang untuk membeli tiket bagi kedua-dua Hari Perlawanan (13 dan 17 Oktober 2023) pada satu harga istimewa iaitu RM70 bagi Kategori Terbuka sahaja.

Tiket Kombo RM70 berkenaan akan dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September 2023 di www.tickethotline.com.my.

Seterusnya, tiket Kategori Terbuka pada harga normal serta tiket Kategori Grandstand dan Premium pula hanya akan dijual bermula 6 September 2023.

 

Noor Azman Hj Rahman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Sabtu, 5 Ogos 2023