SIARAN MEDIA: LEBANON TARIK DIRI, TAJIKISTAN GANTI SERTAI PESTABOLA MERDEKA 2023

2023-08-18

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa pasukan Tajikistan telah mengesahkan penyertaan mereka sebagai pasukan keempat bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 13 hingga 17 Oktober 2023.

Terdahulu, majlis undian Pestabola Merdeka 2023 telah pun berlangsung pada 8 Ogos lalu yang menyaksikan tuan rumah, Malaysia diundi bertemu India, manakala Palestine berdepan Lebanon untuk Hari Perlawanan 1 pada 13 Oktober 2023.

Bagaimanapun, FAM telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) pada Isnin, 14 Ogos 2023 menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lebanon dan Palestine telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas.

Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon itu.

Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestine kini akan menentang Tajikistan.

 

Noor Azman Hj Rahman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 18 Ogos 2023