SIARAN MEDIA: MAJLIS MENANDATANGANI MOU ANTARA FAM & PFAM

2017-05-24

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah berlangsung di The St Regis Kuala Lumpur, hari ini.

 Majlis berlangsung dengan upacara menandatangani MoU antara Setiausaha Agung FAM, YH Dato Haji Hamidin Mohd Amin yang mewakili FAM dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Encik Izham Ismail bagi pihak PFAM. Upacara tandatangan disaksikan oleh Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Presiden PFAM, Encik Hairuddin Omar.

 Setelah hampir 3 tahun rundingan semenjak penubuhan semula PFAM, MoU ini diwujudkan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama antara pihak FAM dan PFAM dalam pelbagai aspek terutamanya aspek yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan karier pemain. Antara intipati terkandung dalam MoU tersebut adalah berkenaan hak imej pemain, prosedur pengurusan kes, pendidikan karier profesional dan program persaraan para pemain.

 Selain itu, menerusi MoU ini juga, ia menggambarkan betapa FAM telah mengiktiraf PFAM sebagai badan atau 'rakan kerjasama strategik' bagi membangunkan bolasepak Malaysia. Malah, PFAM akan turut menjadi pemegang taruh dalam setiap penggubalan dasar dan polisi yang melibatkan pemain profesional yang ingin dirangka bagi memastikan pautan yang lebih holistik.

 Menerusi MoU ini, diharapkan ia menjadi titik tolak untuk ruang kerjasama yang lebih besar seperti mewujudkan kontrak standard pemain yang baru dan juga penubuhan National Dispute Resolution Chamber (NDRC). Tenyata, ini adalah sebahagian daripada komiten Presiden FAM, Tunku Ismail dalam usaha mentrasformasikan bolasepak Malaysia dengan meletakkan para pemain sebagai aset utama dalam proses transformasi ini.