SIARAN MEDIA: PENJELASAN ISU PEMAIN KUDA TUA & PEMAIN BERSARA

2017-05-29

Selepas senarai nama 26 pemain dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan dikeluarkan pada Rabu lalu (24 Mei), saya dapati terdapat banyak kritikan terhadap pemilihan pemain tersebut di kalangan peminat dan penyokong bola sepak serta bekas-bekas pemain yang disiarkan di media.

Pertamanya, ingin dijelaskan di sini bahawa pemilihan pemain-pemain tersebut bukanlah ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah senarai yang dicadangkan oleh penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe memandangkan ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada baru saja tiba di tanah air pada 23 Mei dan tidak sempat untuk menilai sendiri prestasi pemain dalam saingan Liga Malaysia.

 Berdasarkan senarai 26 pemain tersebut, hanya sembilan pemain sebenarnya berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai kuda tua manakala selebihnya 17 pemain lain adalah berusia di bawah 30 tahun iaitu tujuh pemain dalam lingkungan usia 22 hingga 25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26 hingga 29 tahun.

 Bagaimanapun, semua perlu tahu Vingada merupakan seorang jurulatih yang meminati pemain-pemain muda. Beliau sendiri telah memberitahu akan memantau pemain-pemain dari skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

 Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lebanon pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan adalah terbaik buat masa ini menerusi pemantauan oleh Cheng Hoe.

 Jadi para peminat, penyokong dan bekas-bekas pemain ini perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap senarai 26 pemain yang telah dipilih itu.

 Kita semua perlu bersabar dan jika belum apa-apa pun pelbagai kritikan berterusan dilemparkan, kita tidak akan ke mana. Semua kena faham, kita sedang dalam proses untuk melakukan perubahan ke arah lebih positif.

 Tunggulah selepas Hari Raya nanti apabila saingan Liga Super dan Liga Premier bersambung serta Piala Malaysia bermula, pasti Vingada akan dapat menilai semua pemain, seterusnya memilih siapa yang terbaik layak dipanggil ke skuad kebangsaan bagi perlawanan akan datang.

 Sudah tentu bagi perlawanan skuad kebangsaan seterusnya pada bulan September, Oktober dan November nanti, Vingada akan dapat membariskan gabungan pemain muda dan senior terbaik untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya.

Keduanya, berhubung isu empat pemain - Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang memilih untuk menarik semula persaraan mereka sebelum ini, itu adalah kehendak pemain-pemain berkenaan untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

 Mungkin mereka berempat berasakan yang mereka bersedia untuk kembali di atas faktor keyakinan terhadap kepimpinan baharu FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM.

 Penyenaraian empat pemain ini dalam senarai 26 pemain dipanggil kali ini juga adalah berdasarkan faktor cadangan nama daripada Cheng Hoe supaya Vingada dapat menilai kesemua pemain lama dan baharu dalam pasukan ini.

 Mereka berempat ini akan tetap dianalisis prestasi mereka dalam kem latihan nanti dan tak semestinya mereka akan terus kekal dalam pasukan, jika gagal mempamerkan persembahan terbaik.

 Bagi saya, sesiapa saja tidak kiralah pemain kuda tua, pemain yang kembali daripada persaraan atau pun pemain muda sekali pun, jika terbukti mereka adalah yang terbaik, mereka boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

 Kesimpulannya, saya berharap agar semua pihak termasuk peminat, penyokong, bekas-bekas pemain serta pihak media untuk sama-sama memberi sokongan positif dalam membantu persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.

 Janganlah kita semua terlalu cepat menilai sebelum sempat pun pemain-pemain ini dan Vingada sendiri turun padang. Sudah tentu, kami semua di FAM ini termasuk Tunku Presiden sendiri dari hari ke hari sentiasa berfikir dan berusaha untuk meningkatkan lagi bola sepak di negara ini terutama skuad kebangsaan bermula dari aksi bertemu Lebanon ini dan seterusnya perlawanan-perlawanan akan datang bermula September nanti.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

ISNIN, 29 MEI 2017